Sabtu, 22 Januari 2011

Speaker S’gor: SPR tidak boleh campur tangan

'Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh memutuskan sesuatu hal bagi pihak Speaker. SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk bercanggah dari keputusan Speaker.'


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, yang telah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Kelang, yang disandang Badrul Hisham Abdullah, Rabu lalu.

Speaker Dewan Udangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim hari ini berkata Speaker mempunyai hak berbuat demikian
berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang memperuntukkan kuasa kepada Speaker memutuskan sama ada sesebuah kerusi DUN itu kosong seterusnya tugas SPR untuk mengadakan satu pilihan raya untuk mengisi kekosongan terbabit dalam masa 60 hari.

“Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh memutuskan sesuatu hal bagi pihak Speaker. SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk bercanggah dari keputusan Speaker.

“Jika SPR berbuat demikian, tindakan itu akan bertentangan dengan perlembagaan negeri,” katanya pada sidang media di pejabatnya disini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang berkata SPR tidak akan terlibat dalam masalah dalaman negeri itu.

“Itu adalah satu perkara antara Speaker Selangor dan ADUN terbabit. Kedua-duanya mempunyai hujah dan pendirian tersendiri mengenai perkara itu.

“Saya tidak begitu arif mengenai perlembagaan negeri Selangor. Walaubagaimanapun SPR akan tunggu notis resmi dari Speaker mengenai kekosongan DUN tersebut,” kata Wan Ahmad kepada FMT pagi tadi.

Rabu lepas, Teng mengumumkan yang Badrul tidak lagi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pelabuhan Kelang dan kawasan DUN tersebut diisytiharkan kosong.

Ini adalah mengikut Akta Tubuh Negeri Selangor yang memberi kuasa kepada Speaker berbuat demikian jika ahli DUN tidak hadir mesyuarat selama enam bulan.

Badrul pula menyangkal dakwaan itu. Katanya beliau pernah menghadiri pembukaan penggal DUN itu pada November 2010.

Notis kepada SPR

Teng berkata pihaknya juga telah menghantar notis pengisytiharan kekosongan kerusi tersebut kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini dan percaya pejabat SPR negeri di sini juga sudah maklum akan notis tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa dakwaan Badrul sebelum ini mengenai kehadirannya dalam upacara pembukaan rasmi persidangan Dun pada 8 November tahun lalu adalah bohong.

Teng juga menafikan tiada upacara pembukaan rasmi persidangan dewan pada tarikh tersebut.

“Upacara pembukaan rasmi penggal ketiga persidangan DUN ke-12 diadakan pada 12 April tahun lalu yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Persidangan pada bulan November itu merupakan pembentangan bajet tahunan dan bukan upacara pembukaan rasmi seperti yang didakwa Badrul,” katanya.

Selain itu, Teng berkata Badrul juga tidak hadir persidangan dewan daripada 8 sehingga 15 November tahun lalu seperti yang tercatat dalam rekod minit mesyuarat dewan (handsard) dan buku kedatangan.

Teng juga mendedahkan bahawa Badrul sendiri mengaku bahawa beliau tidak hadir sepanjang tarikh 8 sehingga 15 November tersebut seperti yang tertulis dalam surat rasmi yang diterima Teng pada 10 Disember tahun lalu.

Teng bagaimanapun mempertahankan tindakannya mendedahkan pembohongan Badrul ini adalah untuk mempertahankan integriti pejabat Speaker sekaligus merungkai kekeliruan orang ramai.

“Saya tidak ada pilihan melainkan mendedahkan dokumen yang berkaitan.

“Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang juga menerima maklumat salah seperti apa yang dibohongi Badrul sebelum ini akan menerima gambaran jelas bahawa tidak ada fakta yang bercanggah.

“Sebaliknya saya terkejut bagaimana Perdana Menteri memilih untuk mempercayai pembohongan seorang Adun daripada mempercayai tugas Speaker yang menjalankan tugas dengan betul mengikut undang-undang dan disokong oleh rekod rasmi,” katanya.

Yang Berbahagia, bukan Yang Berhormat

Sehubungan pengisytiharan tersebut, Teng juga memutuskan melarang Badrul daripada memasuki Dewan semasa persidangan pada Isnin ini walaupun Badrul bertegas mahu menghadirinya.

“Badrul kini hanyalah seorang Yang Berbahagia dan bukan Yang Berhormat. Maka hanya Yang Berhormat sahaja dibenarkan masuk ke dalam Dewan dan mengikuti persidangan.

“Beliau sudah tidak ada urusan lagi dengan Dewan,” katanya.

Ditanya keputusan Badrul untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan kedudukannya sebagai Adun, Teng berkata pihaknya tidak bimbang sebaliknya akan membiarkan mahkamah memutuskannya.

Beliau turut membidas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan keputusan menentukan kekosongan kerusi adalah keputusan suara ahli dewan dan bukannya Speaker.

Beliau sebaliknya berkata perkara itu mungkin berlaku dalam Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Artikel 52(1) Perlembagaan Persekutuan, dan keadaan ini berbeza mengikut Undang-Undang Tubuh Selangor 1959.

“Kita tak perlukan peguam untuk menafsirkan perbezaan antara kuasa Dewan Rakyat dan kuasa Speaker. Jika tidak faham perbezaan antara kedua-duanya, mungkin beliau perlu kembali semula ke sekolah undang-undang atau sekolah Inggeris untuk menyemak semula peruntukan tersebut,” katanya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu 14 PKR, 13 DAP, lapan PAS, seorang wakil Bebas dan 20 diwakili Barisan Nasional.

Namun selepas kekosongan kerusi Pelabuhan Klang menjadikan jumlah keseluruhannya 55 kerusi, Teng berkata perkara itu tidak akan menjejaskan pengundian untuk mendapat 2/3 majoriti bagi meminda perlembagaan negeri.

Tiada agenda tersembunyi

Sementara itu, Teng juga mengumumkan salinan pindaan rang undang-undang kini sudah sedia untuk diedarkan kepada setiap Adun seperti yang dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan hari ini.

Katanya, Adun boleh mengambil salinan tersebut di pejabat Setiausaha Dewan sekaligus menafikan dakwaan Adun BN bahawa pihaknya mempunyai agenda tersembunyi dengan tidak menghantar notis dan dokumen pindaan kepada Adun.

“Disebabkan keadaan agak tergesa-gesa dan masa yang suntuk, pihak Dewan pun baru menerima rang undang-undang baru itu pada Rabu lalu.

“Menteri Besar pun pada minggu lalu sudah umumkan tentangnya. Kalau tak nak ambil di pejabat Setiausaha Dewan pun ada kuasa dalam peraturan 10(3) mesyuarat Dewan yang menyebut maklumat itu juga boleh diedarkan pada hari persidangan sebelum bermesyuarat bermula.

“Jadi sebenarnya tidak ada isu yang mendakwa kami sengaja tidak mahu memberikan salinan notis dan dokumen tersebut kerana kami sudah menggunakan semua saluran yang ada,” katanya.

Tiada ulasan: