Jumaat, 7 Januari 2011

Simbah cat: Ada kaitan tulisan di blog?

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat ke atas pejabatnya awal pagi tadi ada kaitan dengan tulisannya di blog yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Selangor berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Shuhaimi berkata, beliau yakin pihak yang melakukan perbuatan itu mula berasa terancam dengan pendedahan di blognya bahawa siapa sebenarnya yang wajar digelar penderhaka kepada Sultan.

"Sudah pasti ia dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggugjawab, yang berasa terancam disebabkab blog saya mula membongkarkan siapa penderhaka Sultan dan individu mana yang cukup berbahasa kasar hingga kita boleh labelkan ia 'ibu kepada segala kebiadapan bahasa' ke atas Agong, Sultan dan Raja," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pejabat Adun Seri Muda di Kota Kemuning, dekat Kota Raja disimbah cat merah awal pagi tadi.

Petugas yang bermalam di pejabatnya memaklumkan perkara tersebut kepada beliau setelah menyedari terdapat cat merah di bahagian pintu dan kawasan sekitar pejabat kira-kira jam 6 pagi.

Petugas itu memeriksa kawasan sekitar dan turut mendapati seperti ada kesan retak di cermin tingkap.

Shuhaimi menyifatkan perbuatan khianat itu sebagai tidak matang dan tidak ubah seperti perbuatan Ah Long mengugut orang yang tidak membayar hutang.

"Perbuatan ini mengambarkan sikap tidak matang dan cara pemikiran seperti 'along' yang dimiliki oleh pihak yg terlibat," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau memberitahu, beliau telah menghubungi pihak polis dan satu laporan polis akan dibuat oleh pengurus pusat khidmat rakyat Dun Sri Muda, Azmin jam 3 petang ini.

Mengulas lanjut mengenai pihak yang mendakwa beliau menderhaka kepada Sultan, beliau berkata, pihak ini dahulunya yang mencerca dan menghina Raja-Raja Melayu, namun sekarang ini mereka berlakon seolah-olah merekalah pembela Raja-Raja Melayu.

"Dulu pihak ini cerca, maki dan hina Raja-Raja Melayu, sekarang mereka berlakon kononnya merekalah benteng Raja Melayu.

"Saya yakin semua institusi beraja tahu siapa sebenarnya pihak yang mengurangkan kuasa raja dan menghapus kekebalan raja. Biar berapa lamapun mereka bermuka muka, akhirnya kebenaran akan muncul menghapus kepalsuan," katanya.

Tambahnya, perbuatan pihak berkenaan menyerlahkan lagi sikap terdesak untuk kelangsungan politik mereka.

"Apa saja yang dilakukan oleh pihak ini akan menyerlahkan lagi kerakusan mereka hanya untuk survival politik mereka sahaja. Lebih banyak keburukan seperti itu dilakukan, lebih mantap lakonan mereka, sebenarnya lebih cepat Putrajaya akan bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Perbuatan berbau ugutan itu tegasnya tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyatakan kebenaran.

"Tindakan berbau ugutan ini tidak akan mematahkan semangat saya, bahkan semakin ramai rakyat sedar duduk perkara yang sebenar. Iltizam kita mengangkat martabat raja, bukan seperti Umno BN yang mengurangkan kuasa raja," katanya.

Tulisan beliau di blognya 30 Disember lalu bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" didakwa memberi gambaran Sultan Selangor bertindak sewenang-wenangnya ketika memperkenankan pelantikan setiausaha kerajaan (SUK) negeri.

Tiada ulasan: