Isnin, 31 Januari 2011

Shaziman: Banjir di Gemas paling buruk

BERNAMA

GEMAS — Penduduk di Negeri Sembilan yang terbabit dengan banjir diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan mereka.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata keselamatan diri dan ahli keluarga mangsa banjir perlu diberi keutamaan bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa mereka.

"Perkara paling penting yang saya hendak ingatkan ketika banjir ialah kita hendaklah memastikan keselamatan diri dan ahli keluarga kita," katanya yang juga Anggota Parlimen Tampin kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Kira-kira 1,921 penduduk dari empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini berikutan banjir akibat hujan yang turun sejak semalam.

Gemas dan Tampin merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir apabila seramai 1,545 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan.

Banjir di Gemas kali ini adalah paling teruk berbanding tahun 2006, ekoran hujan luar biasa yang berterusan dalam tempoh dua hari menyebabkan air Sungai Muar melimpah.

Pekan Gemas ditenggalami air hingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Shaziman berkata bekalan keperluan untuk mangsa banjir perlu dihantar segera.

Tiada ulasan: