Ahad, 2 Januari 2011

Sesi pengajian institusi pengajian tinggi bermula September mulai tahun ini

BERNAMA

TEMERLOH – Pengambilan pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTAS) dianjakkan dari bulan Julai ke September mulai tahun ini selaras dengan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa.

Oleh kerana pada masa lalu, tiada keselarasan waktu pengambilan pelajar, IPT tempatan gagal menarik pelajar luar negara menyambung pengajian di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, bahawa keputusan berkenaan juga bagi mengelak IPTAS di negara ini “kehilangan” pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang berlaku ketika ini, ramai pelajar cemerlang lulusan SPM membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka di luar negara daripada memilih institusi pengajian tinggi tempatan.

“Mereka (lulusan SPM) dilihat tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutuskan (memilih) pusat pengajian tinggi terbaik dalam negara selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan.

“Akhirnya ramai yang memilih pengajian tinggi swasta di luar negara terutama Singapura,” katanya.

Saifuddin sebelum itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan pemberita sambilan Bernama, Harun Mohamed iaitu Norhazwani Nadiah dan pasangannya Mohd Harzamie Rahimi.

Tiada ulasan: