Jumaat, 28 Januari 2011

Selangor Kini: Umno Selangor kepanasan !.

Awang Saribu

SABAK BERNAM: Umno dilihat semakin tertekan dan hilang pertimbangan politik sihat apabila sanggup ‘ merampas ‘ akhbar Selangor Kini edisi kedua bulan Januari 2011 yang diedarkan kepada orang ramai di sebuah masjid daerah ini, hari ini.

Kejadian berlaku di masjid Kampong Sungai Haji Dorani, Sungai Besar apabila ‘ orang kuat ‘ sebuah cawangan Umno di situ yang memang dikenali oleh para jamaah , sanggup mengumpul dan mengambil kesemua akbar yang diletakkan di bahagian beranda masjid , walaupun bilal masjid sedang melaungkan iqamat untuk memulakan solat Jumaat !.

Sebelum itu, beliau dikatakan turut mengambil satu longgokan akhbar Selangor Kini yang diletakkan di sisi pintu masuk dan membawanya ke dalam masjid , semasa beliau mula-mula tiba untuk melakukan solat sunat.

Akhbar tersebut yang diletak beliau berhampiran mimbar kemudiannya diambil selepas selesai solat Jumaat dan dibawa pulang bersama dengan satu bungkusan akhbar Selangor Kini bagi mengelakkan orang ramai mengambilnya .

Para jamaah masjid yang melihat perbuatan tersebut beranggapan perbuatan itu sebagai amat memalukan dan terdesak selain tidak bermaruah , kerana semata-mata mengikut arahan pihak pimpinan Umno peringkat atasan.

“ Sebagai seorang bekas nazir masjid di sini dan telah berusia lanjut, perbuatan demikian tidak sewajarnya dilakukan oleh orang yang berfikiran waras dan menjaga maruah dirinya,

“ Perbuatan beliau hanya sesuai dilakukan oleh kalangan budak-budak muda yang masih mentah dalam politik serta perlu kepada nasihat orang tua-tua yang lebih berpengalaman , “ ujar seorang jamaah masjid yang turut menyaksikan kejadian itu.

Seorang Ketua Cawangan PAS , Encik Anuar Arshad menyifatkan tindakan orang kuat cawangan Umno tersebut sebagai tindakan bersifat kebudak-budakan dan masih mentah dalam politik, walaupun dalam usia telah lanjut.

“ Akhbar Selangor Kini bukan akhbar politik parti PAS, PKR atau DAP, tetapi akhbar yang diterbitkan oleh kerajaan yang memerintah untuk menyalurkan maklumat kepada seluruh rakyat negeri ini .

“ Jika beliau tidak mahu membacanya, biarkan orang lain mendapat maklumat yang jelas berhubung dengan pindaan perlembagaan dan isu lain seperti yang dimuatkan dalam akhbar tersebut , “ tambah beliau lagi.

Beliau mendakwa, sikap yang ditunjukkan itu dengan sendirinya menghakis perasaan hormat orang ramai dan para jamaah kepada beliau sendiri sebagai bekas nazir masjid di situ.

Tiada ulasan: