Rabu, 26 Januari 2011

Selami isu rakyat, bukannya serang peribadi calon



Normala Sudirman dari PAS-Pakatan Rakyat berucap di hadapan pengundi semalam. - Foto Bernama

ANALISIS — Sebelum ini kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dilihat akan memberikan tumpuan kepada isu-isu nasional dan juga isu rakyat di kawasan itu.

Namun sebaik sahaja kempen bermula, Barisan Nasional (BN) melalui MCA terlebih dahulu menyerang secara peribadi calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman (gambar) atas alasan beliau tidak mahu bersalam dengan kaum lelaki.

Serangan itu terlebih dahulu dibangkitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempersoalkan pendirian Normala itu, serangan itu kemudian diikuti dengan beberapa pemimpin MCA yang lain.

Agak malang bagi pengundi di DUN Tenang apabila harapan mereka supaya permasalahan mereka didengar oleh kedua-dua parti bertanding akhirnya bertukar kepada serangan peribadi yang lebih memberikan tumpuan kepada cara bersalam Normala berbanding isu-isu lain.

Walaupun MCA secara berterusan menyerang, namun Normala, Ketua Muslimat PAS Labis tidak mudah melatah. Sebaliknya beliau membalasnya dengan menyifatkan Umno gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Serangan peribadi terhadap Normala berterusan selepas Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong, yang juga anak Dr Chua, dalam laporan akhbar harian China Press dilaporkan berkata Normala ada bertanya kepada seorang peniaga Cina “kenapa jual minuman arak” ketika berkempen.

Tindakan pemimpin MCA menyerang peribadi Normala mendapat tentangan daripada pemimpin Pakatan Rakyat.

Ekoran perkembangan tersebut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa parti komponen BN terutamanya MCA tidak mengeksploitasikan pendirian Normala itu.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Dr Chua menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Persoalannya, sampai bila serangan peribadi terhadap Normala ini akan berakhir, adakah MCA akan terus memainkan isu agama untuk menjatuhkan calon wanita pilihan itu.

Mungkinkah MCA akan terus memainkan isu agama ini untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu di kawasan Tenang yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat BN.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai Kolam Air Panas Labis. - Foto Bernama
Berkisar pada isu kempen Tenang, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam tulisan terbaru dalam blog beliau turut tidak bersetuju dengan kritikan Dr Chua mengenai keengganan Normala untuk bersalam dengan lelaki bukan muhrim.

"Memang benar ada pendapat ulama yang membenarkan wanita dan lelaki bukan muhrim bersentuhan dalam konteks bersalaman tangan. Namun secara asasnya Islam menolak persentuhan antara wanita dan lelaki bukan muhrim kecuali suami isteri.

“Justeru adalah merupakan hak Normala sebagai seorang Muslim untuk menolak sebarang salam dari lelaki yang bukan saudara beliau,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Dr Chua dalam kempen pilihan raya DUN Tenang seolah-olah memperlihatkan MCA sudah tidak mempunyai isu untuk diperjuangkan.

“Yang mengecewakan saya ialah apakah Presiden MCA sudah kehilangan isu untuk menarik sokongan masyarakat Cina sehingga terpaksa menggunakan isu-isu sensitif seperti ini? Dan apakah masyarakat Cina akan membuat keputusan hanya berasaskan pegangan agama Normala?

“Adalah lebih baik pemimpin bukan Islam sama ada dari Barisan Nasional mahu pun Pakatan tidak membuat sebarang komentar negatif terhadap isu-isu membabitkan nilai-nilai Islam yang mereka sendiri tidak mengetahui dengan mendalam," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu bagaimanapun berkata tidak wajar untuk “membelasah” Dr Chua sahaja kerana PAS terlebih dahulu membenarkan pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menggunakan ayat suci al-Quran dengan sewenang-wenangnya.

“Malahan dalam banyak ceramah politik sebelum ini, ada pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat mempersoalkan keislaman dan keimanan pemimpin Islam dalam Umno dan ia disambut dengan laungan takbir oleh penyokong PAS. Bukankah latahan PAS mengenai kenyataan Dr Chua ini menunjukkan sikap 'double standard' dan talam dua muka parti tersebut?

“Saya fikir banyak lagi isu yang wajar dijadikan fokus dalam pilihan raya kecil ini berbanding isu-isu peribadi dan remeh temeh seperti ini,” katanya.


Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berpendapat isu agama akan terus menjadi bahan utama MCA dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Barangkali MCA mahu memanipulasikan isu ini untuk menjadi salah satu contoh mengapa perlu menolak PAS walaupun isu ini sebenarnya dalam konteks hari ini tidak wajar berlaku.

“Ia juga bukan baru... masing-masing termasuk DAP dan PAS pernah menggunakan isu agama dan memanipulasikannya untuk meraih sokongan.

“Saya masih beranggapan Tenang kubu kuat BN dan majoriti yang menjadi pertaruhan sehingga sanggup mencari isu peribadi untuk melakukan pembunuhan karakter calon,” katanya.

Katanya, “pengundi Tenang tidak begitu terjejas ekonomi memandangkan harga pertanian melambung dan barangkali akan terus menyokong status quo dan menolak perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat walaupun penyokong tegar pasti ada untuk PAS.”

Bagi Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad, tindakan Dr Chua dan pemimpin MCA yang memainkan isu bersalam Normala adalah lambang tokoh agama dan pemimpin Umno gagal menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran BN.

“Kenyataan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Seri Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam umno gagal menerapkan Islam dalam BN.

“PAS boleh memaafkan dua tokoh daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi ini. Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas,” katanya.

Kata Idris, mungkin mulut orang agama dalam umno sudah penuh dengan sagon. “PAS merasa bangga isu bersalam, dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam,” kata beliau.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik turut mempertahankan pendirian Normala sambil menyifatkan ia adalah langkah terbaik.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, Islam memang melarang wanita bersentuhan kulit dengan lelaki bukan muhrim dan tindakan calon berkenaan adalah wajar dan tidak patut dijadikan isu.

Tindakan Dr Chua yang menyentuh sensitiviti orang Islam turut dikecam beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang menggesa orang bukan Islam agar tidak mencampuri hal-hal yang berkaitan dengan agama rasmi negara ini.

Isu itu tidak berhenti di sana. Nampaknya ia berlarutan.

Malam tadi, Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan tindakan MCA yang mahu menggunakan isu agama sebagai satu penghinaan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Kita dapati Umno akan cakap pada orang Melayu, bercakap soal Melayu dan sudah pasti sasaran mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merela label sebagai pengkhianat, seolah-oleh mempertahankan orang Melayu dengan menganggap orang Cina adalah ancaman kepada mereka.

“Di sebelah sana MCA akan takutkan orang Cina dengan negara Islam, mereka akan gunakan fitnah terhadap PAS dengan kata PAS tidak akan toleransi dengan orang bukan Cina," katanya ketika berceramah.

“Ini satu pembohongan, taktik menakut-nakutkan (rakyat negara ini),” katanya.

Pokoknnya isu agama menjadi modal utama kempen pilihan raya. Ia menjadi isu penting masa-masa lalu dan sudah pasti akan terus dibangkitkan selepas ini.

Tiada ulasan: