Isnin, 24 Januari 2011

Salahudin nafi PAS tafsir semula ayat al-Quran


HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR,: Pengarah pilihan raya PAS untuk PRK Tenang, Salahudin Ayub menafikan beliau pernah berkata, PAS mentafsirkan semula ayat-ayat al-Quran untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau menggesa akhbar Berita Harian menarik balik laporan mengenainya sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar berkenaan di muka depannya hari ini.

"Saya tidak pernah kata mentafsirkan semula...apa yang saya kata adalah, PAS mengkaji semula pendekatannya berdasar waqi (suasana) semasa berdasarkan siasah syariah," kata Salehudin kepada Harakahdaily.

Berita Harian menyiarkan di muka depannya hari ini berita bertajuk "Pilih calon wanita: PAS tafsir semula ayat al-Quran".

Menurut Salahudin, PAS sememangnya sejak dari dahulu lagi meletakkan calon wanita dalam pilihan raya sebagaimana yang dilakukan di Parlimen Dungun apabila PAS meletakkan Khadijah Sidik bertanding di situ pada tahun 1960an dahulu.

Namun, PAS mengubahkan pendekatannya selepas itu dengan berhenti dari meletakkan calon wanita berdasarkan suasana semasa selepas itu yang tidak mengizinkan calon wanita diletakkan sebagai calon.

"Antaranya budaya samseng dalam pilihan raya dengan lahirnya Pemuda tahan Lasak Umno dan sebagainya.

"Namun selepas suasana sudah berubah, kita membenarkan wanita bertanding dalam pilihan raya semula. Tidak berbangkit soal PAS mentadfsirkan semula ayat al Quran," kata Salahudin.

Tiada ulasan: