Selasa, 4 Januari 2011

Rogol Amah: Shamsul gesa Rais bersih nama

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim segera membersihkan nama berhubung tuduhan seorang menteri merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perdebatan dalam blog-blog jelas merujuk kepada Rais sebagai menteri yang dimaksudkan, dan menteri penerangan itu perlu memberi respon.

"Sejauhmana kebenarannya, hanya beliau (Rais) dan Tuhan sahaja yang mengetahuinya.

"AMK mendesak Dr. Rais segera menafikan cerita ini, sekiranya ia tidak benar," gesanya.

Selain penafian Rais, AMK juga turut menggesa Perdana Menteri melakukan penyiasatan menyeluruh demi membersihkan maruah negara yang tercemar.

Menurutnya, jika dakwaan ini benar, ianya bakal memberi kesan yang negatif kepada hubungan serantau Malaysia-Indonesia berikutan sikap 'duduk dan diam' oleh kerajaan Malaysia.

Sejak tiga siri pendedahan berhubung isu itu disiarkan Harakahdaily, rangkaian bloger terus memperdebat dan mencari siapa menteri yang didedah oleh laporan WikiLeaks itu.

Pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan, NGO Tenaganita dan NGO pekerja Indonesia, Migrant Care, antara yang awal tampil dengan perincian berhubung dakwaan ini.

Tersebarnya dokumen salinan bertajuk ‘Laporan Investigasi Robengah (BMI) yang mengalami perkosaan oleh majikannya’ telah menjadi rujukan utama para bloger dalam mencari nama menteri tersebut.

Sehinggalah mereka semua membuat kesimpulan awal bahawa suspek utama dalam kes itu adalah Rais.

"Dalam waktu terdekat, AMK akan menghantar beberapa orang Exco untuk suatu misi mendapatkan maklumat (fact findings mission) mengenai jenayah terkutuk ini dengan mengunjungi pihak Migrant Care dan juga pihak Kedutaan Indonesia bertujuan untukmendapatkan fakta-fakta yang sebenar berkaitan kejadian rogol ini,"tambahnya lagi.

Kes rogol ini didakwa telahpun berlaku sewaktu pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil kononnya untuk 'mengelakkan konflik serantau'.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 19 Februari 2007 dan mangsa dikatakan telah dipaksa untuk mendiamkan perkara ini berikutan ugutan yang dibuat ke atas mangsa.

"AMK yakin dan percaya, sekiranya dakwaan ini benar, isu ini membawa impak yang sangat buruk kepada kerajaan di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak, dalam keadaan beliau gagal menjamin kredibiliti dan integriti kabinet beliau sehinggakan tergamak mengekalkan seorang penjenayah seksual di dalam kabinet beliau,"katanya.

1 ulasan:

MOHD NAZRI ABDULLAH berkata...

Salam...saya Mohd Nazri Abdullah memohon jasa baik saudara untuk mengeluarkan artikel "Rogol Amah: Shamsul gesa Rais bersih nama" kerana story itu adalah salah dan ada implikasi undang2. Story yang betul telah dinaikkan semula... minta sgt2 tolong keluarkan dan masukkan yang baru.