Rabu, 5 Januari 2011

Rakyat M’sia belanja melebihi RM6,000 untuk beli-belah dalam talian

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia membelanjakan secara purata lebih daripada RM6,000 dalam talian sejak 12 bulan lepas, demikian menurut Pemantauan Pengguna eCommerce Visa 2010 mengenai tabiat membeli-belah dalam talian dan motivasi.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Visa berkata kaji selidik itu menunjukkan yang rakyat Malaysia membeli tiket penerbangan dan penginapan pengembaraan secara dalam talian.

“Menurut kaji selidik itu, 82 peratus daripada responden Malaysia berkata mereka membeli tiket penerbangan di Internet sejak 12 bulan lepas sementara 72 peratus dilaporkan membeli penginapan pengembaraan dalam talian,” katanya.

Pengurus negara Visa Malaysia, Stuart Tomlinson berkata, menempah tiket kapal terbang dan membeli perkhidmatan kewangan atau peranti elektrik telah kian meningkat.

“Malah, ramai pembeli Malaysia yang membeli secara dalam talian merasakan yang ia lebih selesa membeli-belah di Internet berbanding pergi ke kedai sebenar kerana mereka boleh membandingkan harga dengan mudah dan membeli pada masa yang sesuai,” kata beliau.

Penemuan itu adalah berdasarkan kepada 3,516 temubual dalam talian dengan pengguna tetap Internet yang berusia 18 tahun dan ke atas di enam pasaran eCommerce yang pesat berkembang — tanah besar China, India, Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Thailand.


Tiada ulasan: