Jumaat, 28 Januari 2011

Qazaf: Anwar diberi tiga minggu kemuka hujah rayuan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan Syariah di sini memberi tempoh tiga minggu kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan hujahan secara bertulis berhubung permohonan rayuan qazafnya yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar permohonan pindaan yang dibuat oleh Anwar selaku perayu iaitu untuk memasukkan perkataan 'keseluruhan' yang dikatakan telah tercicir dalam notis rayuan, pada 23 April lalu.

Pihaknya membuat permohonan itu berhubung satu perenggan yang menyatakan "...tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah" untuk meminda dengan menambah perkataan "keseluruhan" yang menjadikan; "...tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan mahkamah."

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Anwar supaya memerintahkan pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain bagi meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25.

Sehubungan itu, pada 23 April lepas, Anwar, 63, menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar, 63, sebagai perayu menamakan tiga responden dalam permohonan itu iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Pada 9 Februari lepas, ketiga-tiga responden memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Anwar dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan qazaf berkaitan kesalahan jenayah melalui prosedur Mal.

Peguam Dorina Abdullah yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata mahkamah juga memberi tempoh terhadap ketiga-tiga responden yang diwakili peguam Roslizam Rahim untuk mengemukakan hujahan balas mengenai perkara itu.

Beliau berkata permohonan rayuan itu dijangka didengar awal April ini.

1 ulasan:

goodlistener berkata...

DAH TAKUT MACAM2 DI BUAT OLEH ALUBURI, KALAU DI PIHAK YG BENAR LAWAN DI MAHKAMAH DAN TUNJUKKAN BUKTI2 YG KUKUH, INGAT SENANG KE UTK MEMBUAT KONSPIRASI DALAM KES BEGINI TERUTAMA DLM MEMBERI BUKTI TERHADAP KES TERUTAMA MENKOORDINASIKAN SEMUA KETERANGAN OLEH SEMUA SAKSI PENDAKWA.TAKUT KERANA SALAH