Sabtu, 15 Januari 2011

Projek Langat 2, S'gor hanya setuju kaji, kata MB

MALAYSIA KINI

Kerajaan negeri Selangor menolak laporan kononnya ia memberi persetujuan penuh kepada pelaksanaan projek Loji Air Langat 2 sebagaimana yang dilaporkan oleh media arus perdana, lapor TV Selangor.

peter chinBeberapa akhbar semalam, termasuk Bernama memetik Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Peter Chin (kanan) sebagai berkata kerajaan Selangor akhirrnya bersetuju dengan projek Langat 2 dan tender-tender pembinaan loji akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan pihaknya hanya bersetuju meneliti butir-butir terperinci projek kerajaan persekutuan itu demi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

"Pegawai-pegawai kerajaan negeri kini sedia untuk bekerjasama dengan pihak persekutuan untuk meneliti unsur-unsur teknikal Projek Langat 2, dan menentukan sekiranya Langat 2 ini akan memanfaatkan rakyat Selangor.

"Pada masa yang sama, kami berharap kerajaan Persekutuan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk penyelesaian isu penyerahan semula pengendalian industri air kepada Kerajaan Negeri," kata Khalid (bawah, kiri).

khalid ibrahimMenurutnya, secara prinsip, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek itu tetapi yang dipersoalkan keghairahan kerajaan Umno-BN untuk menyiapkan projek itu dengan segera, sebelum isu penstrukturan semula industri air diselesaikan.

Pertikaian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri membabitkan pengurusan aset air di Selangor dan perlaksanaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor termasuk pembinaan loji rawatan air Langat 2 bernilai hampir RM10 bilion ringgit.

Kerajaan negeri mengambil pendirian projek Langat 2 tajaan Putrajaya adalah terlalu mahal dan tidak perlu disegerakan kerana bekalan air Selangor mencukupi sehingga 2019.

"Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu air di Selangor mesti ditangani secara holistik. Pembinaan loji baru adalah satu daripada beberapa langkah yang harus dipertimbangkan secara keseluruhan, termasuk pengurusan aset-aset dan industri air di Selangor," kata Khalid.

Tiada ulasan: