Jumaat, 28 Januari 2011

Polis beri tumpuan 52 lokasi panas

SINAR HARIAN ONLINE



SUNGAI BULOH - Sebanyak 52 lokasi panas atau kawasan kemalangan dikenal pasti di seluruh daerah di negeri ini tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, pelbagai pendekatan digunakan termasuk memasang papan tanda amaran kawasan kemalangan bertujuan menyedarkan pengguna dalam usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian di lokasi terbait.

Katanya, daripada 52 lokasi panas tersebut, Kuala Selangor masih mendahului dengan 10 lokasi panas dikenal pasti.

”Setiap tahun pun tempat (kawasan panas) yang sama, Kuala Selangor masih lagi kawasan paling banyak mempunyai kawasan kemalangan.

”Kita berharap pemandu dapat mengetahui kawasan kemalangan ini supaya mereka boleh lebih berhati-hati sekiranya melalui kawasan tersebut,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Ops Sikap ke-23 peringkat Negeri Selangor, semalam.

Selain Kuala Selangor, daerah kedua paling banyak kawasan panas adalah Klang dengan tujuh kawasan, diikuti Petaling Jaya (tiga), Shah Alam (empat) Klang (tujuh), Ampang Jaya (satu), Subang Jaya (lima), Gombak (lima) dan Kajang (tiga).

Beliau berkata, bagi tahun 2010 sebanyak 4,010 kes kemalangan dicatatkan di Negeri Selangor , manakala bagi kes kematian sebanyak 43 kes telah dicatatkan.

”Pada tahun 2010 telah mencatatkan kekurangan kes kemalangan tetapi bagi kes kematian pula telah meningkat sebanyak 7 kes berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, sikap pemandu masih lagi merupakan penyumbang utama kepada kes kemalangan di negeri ini, oleh yang demikian, pihaknya merayu kepada para pemandu supaya berusaha mengubah statistik tersebut bagi tahun ini.

”Jangan gunakan jalan raya sebagai litar perlumbaan, setiap pemandu mestilah membuat tindakan yang wajar sebelum memulakan perjalanan seperti merancang perjalanan mereka.

”’Hot Spot’ (kawasan kemalangan) ini menjadi lokasi panas kerana adanya kemalangan, ianya diwujudkan sendiri oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab, sekiranya mereka terus memandu sedemikian, maka bertambahlah ‘hot spot’ ini,” katanya.

Tiada ulasan: