Jumaat, 14 Januari 2011

PKR tawarkan Khairy Pengarah Strategi Rafizi untuk debat



Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR.

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan Pengarah Strateginya Rafizi Ramli untuk berdebat dengan Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berhubung dasar ekonomi khususnya berkaitan dengan Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, dua pemimpin PKR telah menawarkan diri untuk berdebat dengan Khairy atas alasan ketua Pemuda Umno dan BN itu tidak “setaraf” kedudukan Anwar.

Kedua-dua mereka ialah Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Pelawaan asal Anwar selaku Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang adalah kepada Najib.

“Namun atas semangat mengadakan wacana umum bagi menilai tawaran Pakatan, PKR menawarkan Rafizi Ramli untuk berbahas dengan Khairy,” kata Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, pada masa yang sama PKR menerima jemputan Khairy kepada Anwar untuk membahaskan Program 100 Hari.

Jemputan Khairy itu dihantar secara rasmi pagi semalam.

Kata beliau, Rafizi selaku pemimpin muda adalah regu sesuai untuk Khairy.

Katanya Rafizi juga merupakan jurutera dan akauntan bertauliah dan pernah menjadi Pengurus Kanan di Petronas dan Pengurus Besar di Pharmaniaga.

“PKR berharap Khairy bersetuju dan perbahasan tokoh-tokoh muda ini menjadi pembuka tirai kepada perbahasan antara Najib dan Anwar.

“Diharapkan lebih banyak wacana politik berbentuk ilmiah dan intelektual dapat diadakan bagi memberikan peluang rakyat membuat penilaian sewajarnya,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar menghantar jemputan peribadi kepada Khairy malam kelmarin manakal Saifuddin pula menawarkan dirinya semalam.

Dewan Pemuda PAS juga mengundang Khairy menyertai forum khas mengenai Program 100 Pakatan pada Selasa depan.

Muhammad Nur berkata PKR kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak pelawaan Anwar untuk membahaskan sama ada Kerajaan mampu melaksanakan Program 100 Hari Pakatan Rakyat atau tidak.

Katanya, pelawaan Anwar dibuat bagi membolehkan rakyat menilai dakwaan Najib bahawa Program 100 Hari yang dimuatkan dalam Buku Jingga adalah populis dan akan memufliskan negara.

“Dalam pelawaan Anwar, beliau turut mendedahkan bagaimana implikasi perbelanjaan kira-kira RM19 bilion untuk Program 100 Hari adalah kecil berbanding dengan subsidi korporat untuk penjana kuasa bebas, syarikat tol serta wang yang hilang melalui pembaziran, kebocoran dan rasuah yang berjumlah kira-kira RM51 bilion setiap tahun.

“Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah memutuskan tawaran Anwar kepada Najib masih terbuka dan Pakatan bersedia menimbang syarat-syarat yang ditetapkan oleh Najib untuk perbahasan tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: