Rabu, 19 Januari 2011

PKR pecat bekas bendahari Selangor Kottapan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat keanggotaan bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan berkuatkuasa semalam.

Kotappan berkata beliau menerima surat pemecatan itu kira-kira pukul 7.33 petang semalam menerusi e-mel dari pejabat setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya terima pemecatan itu menerusi satu e-mel dari pejabat setiausaha agung kira-kira pukul 7.33 petang sebaik saya balik dari mengadakan satu sidang akhbar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air oleh ketuanya Datuk Zaid Ibrahim di sini hari ini.

Kottapan berkata surat itu menyatakan bahawa dia telah melakukan kesalahan mengikut perkara 29 (1) (2) perlembagaan parti tetapi beliau tidak menjelaskan sebab dipecat.

Beliau juga diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari tetapi bertegas menolak untuk berbuat demikian.

Semalam beliau mencabar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat berhubung soal keadilan yang gagal diamalkan dalam pemilihan parti itu September tahun lepas sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan anggota dan pemimpinnya.

Pada 30 September tahun lepas, Kotappan mendakwa pemilihan PKR cabang Kota Raja, Klang, yang dimenangi exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar tidak sah kerana hanya diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Ditanya mengenai kehadirannya pada majlis hari ini, Kottappan berkata beliau dijemput oleh Zaid dan sudah bersetuju untuk menyertai Kita.

Beliau yakin akan membawa masuk antara 30 dan 40 orang bekas penyokong PKR menyertai Kita

Tiada ulasan: