Jumaat, 28 Januari 2011

PKR belum ambil tindakan terhadap Mustaffa

Mesyuarat Biro Politik PKR sebaliknya fokus kepada masalah teknikal membabitkan notis tunjuk sebab.


PETALING JAYA: PKR masih belum memutuskan sebarang tindakan ke atas Pengarah Biro Latihan Mustaffa Kamil Ayub dan sebaliknya masalah teknikal membabitkan notis tunjuk sebab menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat biro politik pada malam Rabu.

Menurut sumber yang dihubungi FMT, pendekatan notis itu perlu dilakukan secara berbeza terutama membabitkan jawatan tertinggi parti.

“Notis (surat) itu pimpinan terlepas pandang, sedangkan jika melibatkan jawatan tertinggi parti pendekatan yang perlu dilakukan berbeza. Merujuk kes Mustaffa ini ia melibatkan kategori berbeza kerana beliau pemimpin tertinggi parti.

“Malah pihak sekretariat juga ditegur berhubung notis (surat) yang dihantar kepada Mustaffa, namun tiada tindakan lanjut ke atas beliau dalam mesyuarat malam tadi (Rabu),” katanya.

Mustaffa yang juga bekas naib presiden didakwa menghalang proses pemilihan parti peringkat pusat di Cabang Pasir Salak pada 25 September 2010 sehingga menerima notis rasmi yang dihantar oleh pejabat Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 13 Januari lalu.

Berikutan tindakannya itu, Mustaffa yang juga bekas pengerusi PKR Perak telah mengingkari keputusan parti dan melanggari disiplin parti mengikut Fasal 27.7 yang boleh membawa kepada pelucutan ahli, seperti yang dinyatakan dalam notis terbabit.

Menurut sumber parti kini menunggu surat jawapan daripada Mustaffa untuk dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta ahli-ahli biro politik dan berlangsung kira-kira tiga jam.

Dalam perkara berkaitan, berhubung isu Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, biro politik memutuskan untuk menunggu surat tunjuk sebab daripada beliau.

“Beliau (Gobalakrishnan) sepatutnya jawab, namun jika masih enggan maka pihak jawatankuasa disiplin parti akan mengusulkan kepada biro politik untuk tindakan selanjutnya ke atas beliau,” jelas sumber tersebut.

Gobalakrishan kini berhadapan dengan risiko masa depan politiknya dalam PKR ekoran tindakan mengecam hebat kepimpinan parti melalui laman twitter sehingga diberi surat tunjuk sebab sepanjang 45 halaman.

Sedia beri jawapan balas

Sementara itu, Mustaffa yang dihubungi FMT pula berkata daripada maklumat tidak rasmi yang diterima parti memutuskan tiada kes terhadap beliau.

“Saya masih menunggu maklumat rasmi daripada parti. Jika sudah selesai saya lega namun saya persoalkan mengapa timbul masalah sedangkan Anwar akui bahawa biro politik tidak dimaklumkan mengenai perkara ini?” soal beliau.

Walau bagaimanapun Mustaffa berkata jika pihak parti membuat keputusan sebaliknya maka beliau akur dan akan memberikan surat balas.

“Tempoh 10 hari itu sudah tamat… saya juga memang ada berkomunikasi dengan Azizah dan Anwar tentang hal ini. Namun jika parti masih berkehendakkan saya untuk jawab, saya akan jawab dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu usaha FMT untuk mendapatkan Saifuddin Nasution gagal bagi mengulas lanjut perkara tersebut.

Tiada ulasan: