Isnin, 31 Januari 2011

Piala Sumbangsih: Kelantan juara buat kali pertama

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR – Kelantan membuka tirai bola sepak Liga Super musim 2011 dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ini merupakan hadiah buat jurulatih baru, Datuk M. Karathu yang baru beberapa hari melatih skuad The Red Warriors kurang apabila jurulatih sebelumnya, B. Sathianathan digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kelantan bermula garang seawal minit pertama dengan asakan merbahaya ke gawang tuan rumah apabila diberi sepakan percuma namun tidak menepati sasaran pintu gawang.

Anak buah M. Karathu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton selepas diberi sepakan penalti apabila pemain Selangor, Razman Roslan dilayangkan kad kuning pertama kerana mengasari pemain Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya pada seawal minit ke-7.

Pemain terbaik musim lepas, Norshahrul Idlan Talaha yang mengambil sepakan penalti mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan namun buntu mencari jaringan.

Perlawanan separuh masa kedua sedikit terencat apabila pengadil perlawanan Yusuf Karim terpaksa memberhentikan perlawanan kira-kira lima minit apabila kedua-dua penyokong membaling objek dan mercun ke dalam padang.

Sejurus perlawanan bersambung pasukan The Red Warriors sekali lagi membolosi gawang gol Selangor apabila sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Badhri Md Radzi tepat ke sasaran pada minit ke-82.

Tersentak daripada jaringan itu, Selangor mula bangkit pada saat akhir mengasak benteng pertahanan Kelantan namun kemenangan tetap berpihak kepada Kelantan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat muncul sebagai pemain terbaik perlawanan Piala Sumbangsih.

Perlawanan Sumbangsih itu turut disaksikan dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Setiausaha
Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

Senarai barisan pemain

SELANGOR:

Mohd Iqbal Mohd Suhimi, Mohd Razman Roslan, Mohd Asraruddin Putra Omar,
Safiq Rahim (Mohd Fitri Shazwan Raduwan), Mohd Safee Mohd Sali, Mohd Hardi
Jaafar (Mohd Fazilidin Khalid), P. Gunalan, Yosri Derma Raju, Mohd Amri Yahyah,
Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Fadzli Saari

KELANTAN:

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari, Norshahrul
Idlan Talaha, Solihin Kanasian, Danial Fadzley Abdullah, Mohd Nurul Azwan Roya,
Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Badhri Md Radzi, Mohd Rizal Fahmi Ab. Rosid, Zairul
Fitree

Tiada ulasan: