Khamis, 20 Januari 2011

Pertemuan Muhibah setuju Interlok dikekal, Misa mahu digugur



Wakil Kumpulan Budayawan dan NGO mewakili masyarakat India yang menyertai pertemuan muhibah kedua di Bangi petang ini.

BANGI— Pertemuan Muhibah kedua anjuran Dewan Pemuda PAS pusat hari ini sebulat suara bersetuju novel Interlok tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dikekalkan sebagai buku teks sastera Tingkatan Lima.

Bagaimanapun Persatuan Pelajar India Malaysia dalam pendirian berasingan mahu novel itu ditarik balik demi kepentingan semua pihak.

Persetujuan Pertemuan Muhibah dicapai selepas Kumpulan Budayawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India membentangkan hujah masing-masing ketika pertemuan selama tiga jam itu.

Pertemuan hari ini bersetuju novel Interlok dikekalkan dengan syarat dimasukkan lampiran ulasan dalam edisi sekolah.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat, ulasan itu akan bertindak sebagai penerangan bagi menjelaskan makna perkataan atau ayat yang sensitif yang terdapat dalam novel itu.

Suhaizan juga berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar Kumpulan Budayawan dan pakar masyarakat India untuk membuat ulasan tersebut.

“Melalui ulasan ini kita tidak mahu perkataan yang sensitif menjadi bahan ejekan, sebaliknya memberikan penerangan kepada pelajar tentang maksud ayat tersebut.

“Sebagai contoh perkataan paria, kita kena masukkan ulasan apa maksud perkataan itu, kenapa ia wujud, kenapa ia sensitif. . . ini perlu dijelaskan dalam novel tersebut,” katanya.

Kumpulan Budayawan diwakili Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dan Budayawan Bertindak, Ikatan Persatuan Melayu Melaka, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pusataka manakala NGO yang mewakili masyarakat India pula diwakili Malaysian India Voice (MIV), Indian Movement, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan pemimpin bekas Hindraf.

Minggu lepas, Pertemuan Muhibah pertama berakhir tanpa kata sepakat.

Tambah Suhaizan, selain dimasukkan ulasan lampiran jawatankuasa khas itu perlu melengkapkan glosari yang ada di dalam novel Interlok.

“Kita juga minta supaya jawatankuasa khas ini membuat rundingan dengan pengarang (Abdullah) bagi membuat pindaan yang munasabah, jika perlu buat rundingan.

“Kita juga sepakat semua pihak perlu mengadakan dialog silang budaya untuk memahaminya, dialog adalah cara terbaik untuk beri kafahaman,” katanya.

Beliau berkata keputusan yang dicapai hari ini akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan.

Cadangan itu, menurut Suhaizan, akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

Kumpulan Budayawan diketuai Presiden Paksa Shamsuddin Othman dan NGO yang mewakili masyarakat India diketuai Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS Balasubramaniam.

Sementara itu, Presiden Misa G. Khishur menggesa kerajaan menarik balik novel Interlok selain mengharamkan novel itu daripada dipasarkan kerana terdapat kesalahan fakta.

“Kami rasa penggunaan novel Interlok untuk pelajar Tingkatan Lima tidak sesuai kerana terdapat fakta dan perkataan yang agak sensitif.

“Kalau beri kepada mereka nanti tafsiran salah akan berlaku, kalau orang dewasa pun boleh boleh tafsir salah bagaimana pula dengan pelajar Tingkatan Lima.

“Sebab itu kita mahu novel ini ditarik balik dan diharamkan, kita tidak mahu nanti wujud persepsi yang negatif kepada masyarakat,” katanya yang turut memberikan tempoh kepada semingu kepada kerajaan untuk membuat keputusan sama ada dikekalkan atau ditarik balik novel itu.

“Kalau tidak ada keputusan dalam tempoh seminggu kami akan mengadakan demontrasi bantahan,” kata beliau.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka hasil tulisan Abdullah menjadi kontrovesi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India.

Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.

Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Semalam Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata hasil dialog dengan wakil MIC dan beberapa NGO yang diadakan berhubung kontroversi novel Interlok akan dibawa kepada Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Mohd Puad bagaimanapun enggan mendedahkan hasil dialog yang disertai kira-kira 21 orang termasuk Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Sebelum ini MIC telah menggesa perubahan dilakukan terhadap Interlok sebelum ia digunakan sebagai buku teks sastera bagi pelajar Tingkatan Lima tahun ini, kerana sistem kasta yang disebut dalam novel itu sensitif kepada orang India.

Semalam, Perkasa menganugerahkan Bintang Jasa Pahlawan Perkasa kepada Abdullah, 91.

Tiada ulasan: