Sabtu, 22 Januari 2011

Permohonan Anwar pinda pernyataan kes saman Khairy didengar 27 Januari

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Januari ini bagi mendengar permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminda bahagian tertentu penyataan tuntutannya dalam saman fitnah beliau terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Fa’erah Nurul Aini Izany.

Timbalan Pendaftar menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas bertemu peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan S.Prakash yang mewakili Anwar dan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy.

Perbicaraan kes saman itu ditetapkan selama dua hari mulai 13 April di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham.

Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 September, 2007, dan mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah memfitnah beliau dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.

Beliau berkata, kenyataan berbaur fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos, 2007.

Anwar mendakwa, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu; yang tidak meletakkan kepentingan terhadap perjuangan dan hak orang Melayu; dan beliau sanggup mengkhianati perjuangan serta hak orang Melayu hanya untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu di negara ini.
Penasihat Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) itu menegaskan bahawa Khairy mengeluarkan kenyataan itu untuk membayangkan bahawa Anwar merupakan ejen politik Amerika Syarikat dan Yahudi, selain untuk memusnahkan kerjaya politiknya, dan beliau mempunyai niat jahat semasa membuat kenyataan itu, yang dusta, tidak berasas dan bohong.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, Anwar turut memohon injunksi untuk menghalang Khairy atau ejennya daripada mengulangi kenyataan itu.


Tiada ulasan: