Jumaat, 7 Januari 2011

PERKASA tarik 15,000 berhimpun di Pasir Salak

Abdul Rahim Sabri

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan mengadakan satu perhimpunan di Perak pada 26 Februari bagi memberi penerangan berhubung "agenda orang Melayu dan Bumiputera."


Perhimpunan itu adalah susulan daripada perhimpunan yang diadakan di Pasir Mas, Kelantan sebelum ini, kata presidennya Datuk Ibrahim Ali.

NONEPerhimpunan itu akan diadakan di Pasir Salak di negeri itu, yang terkenal sebagai tempat bersejarah dengan peristiwa pembunuhan residen British JWW Birch.

Ibrahim (kiri) berkata, beliau menjangkakan sekurang-kurang seramai 15,000 akan hadir di majlis 'Perhimpunan Melayu Perkasa' itu yang akan turut disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir juga akan menjadi pemidato utama dalam perhimpunan itu, kata Ibrahim lagi dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Ibrahim berkata, pemidato dalam perhimpunan itu juga bagi memberi penerangan bahawa perjuangan tindakan PERKASA selama ini bukanlah tindakan rasis atau perkauman.

"(Sebaliknya, ia merupakan) usaha untuk merapatkan jurang ekonomi terutama dalam pembahagian kek ekonomi supaya dalam jangka masa panjang semua rakyat akan bahagia," kata ahli parlimen Pasir Mas itu lagi.

Iktiraf UPB setara PEMANDU

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi PERKASA di ibu negara petang ini, Ibrahim juga mengumumkan akan menganjurkan Persidangan Transformasi Ekonomi Bumiputera pada 12 Februari sebagai susulan kepada Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) tahun lalu.

Katanya persidangan tersebut dijangka akan dihadiri kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai NGO dan pakar-pakar ekonomi.

azlan"Kita ada lima atau enam usul khusus yang melibatkan ekonomi bumiputera.

"Satu usul kita telah hantar kepada pejabat perdana menteri hari ini, mendesakkan mewujudkan jawatankuasa penyelaras Unit Perancangan, Pelaksanaan dan Pemantauan (UPB)," katanya.

Pada 28 Disember lalu, PERKASA menggesa kerajaan menubuhkan UPB - jawatankuasa yang setara dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) bagi menangani agenda bumiputera.

Sementara itu, Ibrahim turut mengumumkan beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuaratnya hari ini, antaranya bersetuju mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua ketua, setiausaha, ketua penerangan, ketua Wira dan ketua Wirawati PERKASA di seluruh negara pada 11 Februari.

Menurutnya, pertemuan tersebut untuk memberi taklimat tentang agenda dan hala tuju PERKASA dengan lebih mendalam.

Tiada ulasan: