Jumaat, 21 Januari 2011

Penjelasan Konsep Islamisasi UIA hari ini

Harakahdaily

GOMBAK: Atas inisiatif dakwah kepada massa, pihak Kelab Ma’ruf bersama kelab-kelab dakwah yang lain di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) seperti PKPIM dan Volunteer of IIUM Mosque (VIM) akan mengadakan rapat umum pada hari ini (Jumaat, 21 Januari 2011) bagi memberi penerangan kepada mahasiswa UIA dan warga UIA yang lain tentang konsep Islamisasi UIA yang telah dicemari oleh mahasiswa sendiri.

Rapat Umum ini akan diadakan selepas solat Jumaat di hadapan perkarangan Masjid UIA.

Oleh itu, semua warga UIA dijemput untuk mendengar daripada wakil-wakil mahasiswa setiap kelab dakwah berhubung isu ini dan mendapat keterangan yang jelas.

Sebagai mahasiswa kita perlu ingat bahawa isu mahasiswa adalah untuk mahasiswa.

Slogan ‘Taman Ilmu dan Budi’ sering diwar-warkan di kalangan komuniti UIA khususnya kepada golongan mahasiswa.

Ini merupakan antara aspirasi yang dijunjung oleh mahasiswa UIA yang merupakan misi UIA itu sendiri ialah ‘IIICE’ atau lebih dikenali dengan Triple ICE.

Misi ini mengabungkan Islamization, Integration, Internalization dan Comprehensive Excellence. Gabung jalin ketiga-tiga konsep ini mampu melahirkan warga UIA yang berilmu dan berbudi kepada Negara amnya dan masyarakat khususnya.

Ramai tokoh-tokoh terbilang lahir dari universiti ini berdasarkan konsep yang diperkenal sama ada dari golongan mahasiswa mahupun pensyarah.

Lebih membanggakan salah seorang pensyarah UIA yang merupakan bekas Rektor UIA sebelum ini iaitu Prof Dr Kamal Hassan mendapat Anugerah Professor Ulung baru-baru ini.

Namun, apa yang dikesali mutakhir ini, konsep Islamisasi iaitu untuk mewujudkan suasana Islamik yang kondusif di UIA semakin tercemar dengan sikap segelintir mahasiwa yang memandang enteng pada aspirasi yang ingin di bawa oleh pihak universiti walaupun kita sedia maklum lebih 98% mahasiswa UIA merupakan beragama Islam dari pelbagai bangsa dan negara.

Konsep Islamisasi ini bukan sekadar memastikan warga UIA menjadi seorang muslim yang menunaikan kewajipan seharian seperti solat sahaja bahkan lebih daripada itu dengan mewujudkan suasana yang baik dengan erti kata yang lain suasana pergaulan antara lelaki dan perempuan yang terkawal serta mematuhi kehendak syariat seperti menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas.

Malangnya, beberapa insiden yang mencemarkan UIA telah berlaku seperti persembahan tarian poco-poco oleh siswi semasa acara perasmian penutup “University Sport Carnival” dan percampuran antara siswa serta siswi dalam permainan bola tampar di kolej kediaman. Hal ini jelas bertentangan dengan konsep Islamisasi yang ingin dibawa oleh pihak universiti.

Sememangnya mahasiswa pada hari ini sudah di luar batasan. Namun, perkara ini tidak boleh dituding jari kepada mana-mana pihak mahupun individu.

Ubaid Abd Akla, Setiausaha Agung yang baru Kelab Ma’ruf UIAM sesi 2010/11.

Tiada ulasan: