Ahad, 30 Januari 2011

Pengundian DUN Tenang berlangsung dalam hujan lebat



Penyokong PAS turut turun padang memancing undi minit-minit terakhir pada hari pengundian hari ini dalam hujan lebat. — Foto oleh Choo Choy May
LABIS — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini berlangsung dalam hujan lebat sejak awal pagi. Ekoran cuaca buruk ini dijangka 14,753 pengundi di kawasan itu dijangka akan menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi terutamanya di kawasan kampung dan ladang.

Jika keadaan ini berterusan, peratusan keluar mengundi dijangka kurang 50 peratus. Tinjauan The Malaysian Insider mendapati beberapa kawasan petempatan penduduk dinaiki air, malah jalan keluar dilalui penduduk juga tidak dapat digunakan.

Di pusat-pusat mengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan pengundi membawa masuk payung sebaliknya hanya boleh menggunakan payung agensi kerajaan itu.

Walaupun hujan, penyokong kedua-dua parti tetap meneruskan usaha meraih undi daripada pengundi. Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Md. Asri Amir ketika dihubungi berkata keadaan masih lagi terkawal walaupun hujan lebat.

“Keadaan di sini (Tenang) masih lagi ok, tiada masalah. “Pusat-pusat mengundi bebas dari banjir,” katanya.

Gelagat penyokong BN meraih undi dalam keadaan hujan lebat di luar pusat mengundi Kg Paya Merah. — Foto oleh Choo Choy May
Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta supaya pengundi di DUN Tenang agar menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelakkan hujan lebat yang dijangka berlaku pada sebelah petang.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pagi ini mendung manakala hujan lebat pada sebelah petang. Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Tiada ulasan: