Isnin, 17 Januari 2011

Pemuda PAS bantah undi proksi

PASPB

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi.

Pengarah pilihan rayanya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa sistem undi proksi dibuat bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia mudah terdedah dengan pelbagai manipulasi dan penipuan.

“SPR tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi,” katanya kepada Harakahdaily.

Meskipun sistem itu dilaksanakan dengan kawalan ketat, pihaknya merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar.

Menurutnya, mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar.

Justeru, katanya mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir.

“Selain itu, sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi,” katanya.

Tambahnya, tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan.

Jika undi proksi benar-benar diadakan, beliau berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihan raya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.

Firdaus turut mengingatkan SPR agar menjayakan proses pilihan raya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil di samping mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.

“Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos.

“Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan BN.

Katanya, biarlah pilihan raya ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman.

“Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya,” katanya.

9 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Undian proksi bukan cara yang baik kerana ia senang disalah gunakan.

Tanpa Nama berkata...

undi proksi tk patut dilakukan kerana undi tk patut diwakilkan. ini boleh menimbulkan penyelewengan.

Paquin berkata...

Mungkin ada kebaikan juga undi proksi ni, tapi kemungkinan utk disalahgunakan adalah terlalu tinggi.. No wonder juga kala ramai yang tak puas hati.

Paquin berkata...

Apapun saya harap hal ni dapat diselesaikan dengan baik dan bukannya diperbesarkan lagi.

Tanpa Nama berkata...

sistem ini bertujuan untuk memudahkan urusan pengendalian pilihan raya supaya dapat dijalankan dengan cekap dan telus. malah, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana2 pihak. tapi pembangkang, apa sahaja usaha atau pembaharuan dipihak kerajaan, walaupun belum diluluskan, mereka lebih dulu mempertikaikannya.

Tanpa Nama berkata...

jika negara2 lain boleh menggunakan sistem ini tanpa bantahan dari rakyat mahupun parti lain, kenapa Malaysia tidak? nampak sangat pembangkang di negara ini tidak profesional dalam menilai sesuatu pembaharuan yang dibawa oleh parti lawan. kalau kita lihat kekalahan di Galas dan Batu Sapi, siapa yang tengah nazak sebenarnya?

Unknown berkata...

Maknanya PAS sendiri pernah mengundi dengan tidak jujurlah ini. Apa pun, percaya dengan SPR akan memberikan sesuatu secara adil.

elia berkata...

Ramai yang membantah. Diharap cadangan ini tidak akan ditetapkan.

elia berkata...

Semamngnya undi proksi ini tidak sesuai untuk dijalankan. Jika diteruskan akan ada banyak masalah yang akan timbul.