Khamis, 27 Januari 2011

Pemilihan: Gabungan mahu aktiviti Cuepacs digantung hingga siasatan selesai

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Beberapa anggota gabungan Cuepacs, yang akhir tahun lalu mempertikaikan keputusan pemilihan badan induk kesatuan sektor awam itu, mahu Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja menggantung segala aktivitinya sementara hasil siasatan diumumkan kelak.

Ramli Omar, yang mewakili kesatuan-kesatuan gabungan terbabit berkata, pihaknya berharap jabatan itu akan mengarahkan agar segala aktiviti Cuepacs digantung bagi mengelakkan implikasi pengurusan dan pentadbiran.

“Sekarang siasatan sedang dijalankan, jadi sepatutnya Cuepacs tidak menjalankan sebarang aktiviti . . . itu yang sepatutnya berlaku, kita belum tahu lagi apa hasil siasatan, sama ada positif atau negatif,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Ramli berkata, jabatan itu telah pun menjalankan siasatan dengan menemu bual kesatuan-kesatuan yang membuat aduan sepanjang tiga minggu lalu.

Bagaimanapun Ramli mengakui pihaknya tidak membuat permintaan rasmi kepada jabatan itu agar mengambil tindakan sedemikian.

“Kami tidak hantar surat permintaan kepada jabatan, tapi kami anggap bahawa sebaik sahaja siasatan dijalankan, Cuepacs tidak sepatutnya mengadakan aktivitinya, semua aktiviti kena dihentikan.

“Selagi keputusan tidak dibuat oleh jabatan, kami mengandaikan keputusan-keputusan yang dibuat oleh barisan kepimpinan yang menang, apa jua keputusan dibuat akan memberi kesan ke atas Cuepacs,” kata beliau yang bertanding jawatan presiden tetapi tewas di tangan Datuk Omar Osman.

Kesatuan-kesatuan terbabit mengemukakan bantahan mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan pada Konvensyen Cuepacs ke-25 yang berlangsung pada 21 hingga 23 Disember lalu.

Surat bantahan itu disampaikan oleh bekas Timbalan Presiden Cuepacs Husain Mohd Yasin kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Omana P.V.C Pillai pada 29 Disember lalu.

Ketika itu, Husain, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya berkata, bantahan dibuat berikutan berlakunya insiden dan pelaksanaan konvensyen, yang turut mengadakan pemilihan pegawai tertinggi dan majlis tertinggi, tidak mematuhi perlembagaan dan peraturan Cuepacs serta Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Misalnya notis konvensyen yang diberikan kepada ahli gabungan tidak mengikut perlembagaan iaitu tidak mencukupi tempoh, dan wujud kepincangan tatacara ketika pelaksanaan proses pengundian.

Antara kesatuan lain yang membantah adalah kesatuan kakitangan awam Institut

Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Universiti Utara Malaysia.

Tiada ulasan: