Khamis, 27 Januari 2011

Pemberian tender jabatan pelajaran didakwa tidak telus

PBTM dakwa prosedur tender telah diubah dan semua proses pemberian tender dilakukan di Kuala Lumpur.

KUCHING: Ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dan siasatan perlu dilakukan dalam proses pemberian tender dan kontrak yang dikendalikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Kewangan Persekutuan (PKP).

Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Tasik Biru, Jossem Daweg mendakwa ada satu contoh yang agak ‘pelik’ berlaku baru-baru ini berkaitan pemberian Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Mentah dan Bermasak Islam serta Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Pembersihan Bangunan dan Kawasan Bagi Institusi Pengajian di negeri ini kendalian JPNS.

Dalam nada terkilan, beliau menyatakan kes seumpama itu telah menimbulkan kehairanan di kalangan ahli-ahli PBTM yang menjadi kontraktor Bumiputera anak tempatan Sarawak disebabkan prosedur dan sistem pemberian tender telah diubah.

Tegasnya, prosedur biasa dalam proses pemberian tender selama ini ialah JPNS akan memproses dan memberi cadangan syarikat kontraktor berdasarkan merit yang seterusnya akan disenarai pendek dan dikemukakan kepada PKP untuk diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Tender.

“Tetapi kami amat berdukacita dan tidak puas hati kerana prosedur itu telah diubah dan semua proses pemberian tender dilakukan di Kuala Lumpur, di manakah letaknya ketelusan ini?

Rekod yang baik

“Yang paling mengecewakan lagi ialah kenapa syarikat Bumiputera tempatan dinafikan penawaran kontrak walaupun terbukti dan diketahui mempunyai rekod yang baik dan memenuhi semua syarat- syarat dan prosedur tender yang dianugerahkan kepada seorang ahli persatuan kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jossem menegaskan ternyata keputusan sedemikian amat mengejutkan banyak pihak terutamanya kontraktor Bumiputera tempatan kerana ianya tidak adil dan tidak mengikuti dasar-dasar arahan tender seperti termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil.5 Tahun 2007.

Lain pula situasinya katanya yang berlaku kerana wujudnya amalan ‘Ali Baba’ dipraktikkan oleh syarikat-syarikat yang berpangkalan di Semenanjung bukannya seperti mereka di syarikat yang dimiliki ahli persatuan itu yang tidak pernah mengali-babakan tender yang pernah dianugerahkan kepada pihak lain.

Tambahnya, wujud keraguan dan persoalan sama ada penender yang berjaya mendapatkan tender seumpamanya mempunyai pejabat operasi dan lesen perniagaan yang sah di Sarawak yang mungkin terlepas pandang oleh pihak urusetia.

“Antara perkara yang menjadi persoalan dan tanda tanya ialah seperti penawaran tender kawalan keselamatan. Harga yang ditawarkan oleh penender yang berjaya amatlah tidak munasabah iaitu di bawah RM4 sejam.

“Sedangkan kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menaikkan gaji pengawal keselamatan sehingga RM1,500 sebulan,” soalnya lagi.

Yang perit jelasnya lagi, keputusan itu juga telah menimbulkan masalah kepada pengawal keselamatan yang terdiri daripada bekas-bekas tentera yang telah berkhidmat dengan syarikat tempatan mungkin disingkirkan kerana gaji dan penyesuaian majikan baru yang mencetuskan keraguan terhadap tahap kebajikan mereka.

Beliau menambah, sekerap manakah penender yang bukan anak tempatan itu dapat memantau dan memastikan kerja-kerja mereka dilaksanakan oleh pekerja yang dilantik mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Oleh itu, kenapa tugas dan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan di sekolah-sekolah negeri ini ditawarkan kepada syarikat yang beralamat di luar Sarawak.

“Sedangkan seperti yang kami ketahui mereka telah banyak melakukan kesalahan dan tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang tidak baik masih ditawarkan kontrak dan terlepas pandang syarikat Bumiputera tempatan,” jelasnya dalam kekecewaan.

Syarikat dari Semenanjung

Selain itu, Jossem turut memaklumkan terdapat kontrak yang ditawarkan kepada syarikat dari Semenanjung tidak diurus secara terus oleh mereka sendiri.

“Perkara ini terbongkar setelah kami meninjau ke beberapa buah sekolah di negeri ini….ini termasuklah pemberian kontrak membekalkan makanan mentah dan bermasak Islam dan lain-lain kontrak,” katanya.

Bagi memperbaiki keadaan dan memberi peluang kepada syarikat-syarikat kontraktor di Sarawak memperolehi tender, Jossem seterusnya meminta JPN dan PKP menjelaskan proses dan prosedur dalam memohon tender.

“Kita mahu garis panduan yang jelas untuk semua kontraktor yang menyertai (permohonan sesuatu tender) agar senario seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.

Pihaknya seterusnya berharap keputusan Lembaga Tender yang dibuat kali ini tidak berulang lagi seperti mana yang berlaku dua tahun lepas iaitu kebanyakan syarikat-syarikat yang ditawarkan kontrak tidak diperakui oleh JPNS.

“Ingin kami cadangkan juga agar keputusan tender persekutuan di negeri ini tidak seharusnya diputuskan di Putrajaya memandangkan di sini turut ada PKP secara langsung memastikan ketelusan keputusan tender dilakukan,” ujarnya lagi.

11 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Apa jua pemberian tender pun perlulah diberikan secara adil dan terbuka.

zam berkata...

pastikan pemberian tender adalah secara telus bagi mengelakkan sebarang keraguan.

mandau berkata...

pemberian tender harus diberikan kepada sesiapa yang layak. ia perlu diberikan secara adil tanpa ada sikap tidak telus.

songkilou berkata...

Siasatan lanjut perlu dilakukan dengan segera, Tidak boleh segala urusan yang sepatutnya dilakukan di dalam negeri dipindahkan ke KL. Sememangnya tidak adil.

songkilou berkata...

Tidak perlu la begitu tamak, kerana orang yang tamak akan selalunya rugi pada akhirnya.

Hamdan Hadillah berkata...

Seharusnya pemberian tender haruslah secara adil. Jangan hanya orang yang tertentu saja yang dapat.

Paquin berkata...

Pemberian tender harus dilaksanakan dengan adil. Jangan berat sebelah bagi mengelakkan kontroversi timbul.

Paquin berkata...

Apapun, perkara ni harus disiasat dan buatlah apa yang patut.

Tanpa Nama berkata...

sejak bila prosedur tender itu diubah? pada tahun 2008 juga PBTM pernah membuat kenyataan yang sama iaitu prosedur tender telah diubah dan tidak telus. adakah isu ini adalah isu yang sama lebih 2 tahun?

Tanpa Nama berkata...

kenapa isu ini dinaikkan semula selepas 2 tahun berlalu? adakah mungkin sepanjang 2 tahun itu JPNS dan PKP telah memberikan tender kepada kontraktor bumiputera? jika benar dakwaan kononnya diubah dan tidak telus adalah tidak tepat.

mike berkata...

apa2 pun siasatan harus dilakukan agar menjawab sebarang keraguan yang timbul berhubung dengan isu ini.