Isnin, 24 Januari 2011

Pegawai KDN dituduh miliki berlebihan

BERNAMA

GEORGE TOWN — Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Abdul Rahman Harun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan mohon dibicarakan berhubung dakwaan memiliki harta yang melebihi pendapatannya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 13 hingga 16 Jun tahun ini untuk mendengar perbicaraan kes itu selepas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Abdul Rahman, 52, dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang, pada 11 Okt 2010, kerana memiliki wang sebanyak RM681,355 dan hartanah bernilai RM136,000, iaitu terdapat lebihan harta yang sepatutnya dimiliki setelah diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan sebanyak RM152,081.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Abdul Rahman, yang pernah menjadi Pengarah Bahagian Pentadbiran, Jabatan Imigresen di Putrajaya, mempunyai empat orang anak dan seorang isteri yang bertugas sebagai guru.

Terdahulu dalam prosiding hari ini pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Anthony Kevin Morais memohon mahkamah supaya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana sepanjang proses siasatan yang dijalankan sejak Ogos 2009 tertuduh dan isteri masih bekerja dan tidak wujud krisis kewangan.

Bagaimanapun pihak pembelaan yang diwakili Mohd Fadly Hashim memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM6,000 atau RM7,000, memandangkan tertuduh dan isteri sangat dihormati oleh masyarakat dan kemungkinan untuk melarikan diri atau tidak hadir ke mahkamah tidak akan berlaku.

Tiada ulasan: