Sabtu, 22 Januari 2011

Pegawai Fama dihukum penjara sebulan, denda RM10,000

BERNAMA


SHAH ALAM - Seorang penolong pegawai Hal Ehwal Ekonomi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selayang dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 kerana membuat tuntutan palsu kos penginapan dan seminar di sebuah hotel, lapan tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan, Rosli Kasmuni gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Rosli, 48, ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai dan member tempoh sehingga 31 Jan ini untuk tertuduh membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosli memberikan invois kepada Penolong Pegawai Tadbir Fama Muhammad Amin Yahya Zikri, yang mengandungi maklumat palsu berhubung kos keseluruhan penginapan dan seminar berkaitan Mesyuarat Agung Kesatuan Eksekutif Fama di Hotel Brisdale di sini dari 29 hingga 30 Jun 2003 iaitu RM6,100 sedangkan kos sebenarnya ialah RM4,895.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Fama, Bandar Baru Selayang, Batu Caves dekat sini, antara 29 Julai dan 20 Ogos 2003 mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Baharuddin Mohd Kassim manakala Rosli diwakili peguam Edmund Ponniah.


Tiada ulasan: