Jumaat, 21 Januari 2011

PBS tolak idea undi proksi, kata Pairin

BERNAMA

TAWAU – Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan sistem undi proksi bagi membolehkan pengundi berdaftar yang tidak dapat hadir mengundi, diwakili seseorang yang layak.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sistem berkenaan bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan jika dilaksanakan akan menimbulkan perdebatan tidak berkesudahan mengenai kredibiliti SPR sendiri.

“Kita selalu diingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, hak mengundi kita sebagai pengundi berdaftar untuk menentukan satu-satu kerajaan adalah hak kita yang amat penting. Jadi cadangan membolehkan seseorang mengundi untuk pihak orang lain bercanggah sama sekali dengan sistem demokrasi.

“Bagi saya ini (sistem proksi) akan lebih mengelirukan lagi dan akan menjadi satu perkara yang tidak meningkatkan kepercayaan terhadap sistem demokrasi kita dan sebab itu saya harap cadangan ini tidak diadakan,” katanya.

Pairin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan “marketwalk” di Pasar Tanjung dekat sini bagi mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada masyarakat peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SPR yang mahu mengkaji kemungkinan mewujudkan sistem undi proksi bagi membolehkan seorang pengundi yang tidak dapat hadir mengundi, diwakili seseorang yang layak.

Semalam Timbalan Presiden Parti Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing turut menolak cadangan berkenaan dengan menganggapnya sebagai pendekatan tidak masuk akal.

Pairin berkata walau apapun mekanisme yang difikirkan SPR bagi membolehkan sistem undi proksi dilaksanakan, ia tetap tidak praktikal kerana Amerika Syarikat yang mengamalkan sistem pengudian elektronik pun berhadapan dengan banyak masalah.

“Apa lagi jika seseorang itu boleh mewakili bukan seorang, bukan dua orang, bukan lima orang tetapi sampai 100 orang. Jadi ini bagaimana? Ini semua melanggar sistem demokrasi kita. Jadi saya fikir ini akan menimbulkan banyak masalah,” katanya.

14 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Tak perlulah menggunakan sistem undian secara proksi.

Anak Sabah berkata...

Cara ini hanya akan membawa lebih banyak masalah.

Unknown berkata...

Saya rasa ramai juga yang menolak idea undi proksi. Baik jangan laksanakan idea undi proksi.

samm berkata...

undi proksi boleh menimbulkan pelbagai keraguan dan masalah. rasanya ia tidak sesuai untuk dilaksanankan.

samm berkata...

SPR perlu mencari sistem lain yang lebih sesuai dan dapat memuaskan hati semua pihak.

Tanpa Nama berkata...

idea undi proksi ni tak releven langsung.

Bujang Senang berkata...

Idea untuk sistem undian proksi ini sememangnya tidak begitu sesuai..Harap SPR memikirkannya semula.

mike berkata...

mengapa SPR selaku badan yang arif mengenai pilihanraya dan demokrasi mengutarakan cadangan tersebut yang mana secara jelas akan mencabuli sistem demokrasi yang diamalkan?

mike berkata...

sistem undi proksi harus ditolak sekeras-kerasnya..adakah SPR sudah hilang keupayaan?

mike berkata...

adalah lebih baik SPR menggugurkan terus cadangan undi proksi ini..sistem ini tidak praktikal dan akan mengundang masalah..

Paquin berkata...

Memang patut pun ditolak idea ni. Rasanya idea ni hanya akan menimbulkan masalah jika dilaksanakan.

Paquin berkata...

So SPR kenalah terima pandangan ramai. Kalau boleh gugurkan ja idea ni, tak perlu fikir banyak. hehehe

nickko berkata...

SPR masih belum memutuskan samada mahu melaksanakan cadangan ini atau tidak. malah keputusan mereka akan mengambilkira pandangan orang ramai. saya yakin dengan protes yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak cukup untuk mendesak SPR supaya menarik balik cadangan ini.

elia berkata...

Pairin Sudah bersuara dan menyatakan beliau tidak berminat untuk melaksanakan idea tersebut. Semoga pihak SPR dapat melakukan sesuatu yang dapat menjamin kesejahteraan bersama.