Sabtu, 22 Januari 2011

PAS Melaka ucap takziah

Ahmad Danial

JASIN: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman mengucap takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Hidhir Abu Hasan.

Abdul Ghani telah menziarahi jenazah allahyarham bersama-sama dengan AJK PAS Pusat dan pimpinan PAS negeri serta kawasan Jasin di Lipat Kajang awal pagi semalam.

Beliau tiba pada jam 1.00 pagi selepas program ceramah Datuk Seri Mohammad Nizar di Dataran Hamas, Jasin.

Dalam lawatan itu Abdul Ghani menasihatkan keluarga allahyarham supaya bersabar dengan ujian Allah yang berat itu.

“Tiap-tiap yang hidup akan meninggal dunia, kita yang hidup mesti meneruskan kehidupan dan redha dengan kematian ke atas orang yang kita sayangi,” ujarnya.

Allahyarham yang berusia 54 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putra kira-kira pukul 8.10 malam semalam selamat dikebumikan selepas solat Jumaat.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dikafankan di rumahnya di Jalan KTLK12 Kampung Tersusun Lipat Kajang dan disembahyangkan di Masjid As-Sajidin, Simpang Kerayong.

AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga mengucap takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Hidhir Abu Hassan dan mengharapkan mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan Allah SWT.

Semasa lawatan tersebut, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga berada di rumah tersebut.

Pada Pilihanraya Umum 2008, Hidhir memperolehi undi manakala lawannya dari PAS, Mejar (B) Haji Jasme Tompang mendapat undi. Allahyarham menang dengan majoriti 2,154 undi.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa calon PAS mesti menang dalam pilihanraya kecil itu bagi memastikan suara PAS dapat membela Islam di negeri Melaka dengan menyuarakan apa juga isu yang berkaitan kedaulatan Islam dan kebajikan orang Melayu.

Tiada ulasan: