Ahad, 30 Januari 2011

PAS kesal dihalang berkempen

Hazayani Zakaria

LABIS: PAS kesal dengan sikap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang didakwa berat sebelah terhadap Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kekesalan tersebut ekoran SPR gagal memastikan semua parti bertanding berhak mengakses ke semua kawasan yang terlibat dengan PRK tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada maklumat yang diterima daripada petugas parti bahawa mereka tidak dibenarkan masuk berkempen di Ladang Labis Utara dan Ladang Bukit Datuk.

"Kenapa BN boleh masuk berkempen, Pakatan Rakyat tak boleh masuk?

"Sepatutnya semua pengundi ada hak untuk akses maklumat daripada kedua-dua parti," kata beliau pada sidang media harian dekat sini, hari ini.

Tambahnya apabila petugas parti memaklumkan perkara demikian kepada SPR, mereka berkata perkara tersebut di bawah kuasa pemilik ladang berkenaan.

"Kita bawa peguam kita jumpa SPR,tapi mereka kata itu terpulang kepada pemilik ladang. Tapi kita katakan SPR bertanggungjawab dalam memastikan rakyat mendapat maklumat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar SPR dapat mengambil tindakan segera memandangkan hari ini merupakan hari terakhir kempen.

Sementara itu, beliau berkata Pakatan Rakyat akan berhimpun di Dataran Cikgu Mala malam esok bagi mendengar keputusan PRK ini.

"Kita akan adakan perhimpunan untuk dengar keputusan di Dataran Cikgu Mala malam esok samaada menang atau kalah, kita tak kisah," katanya.

Tiada ulasan: