Isnin, 17 Januari 2011

PAS bimbang cadangan kerajaan teliti subsidi

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: PAS melahirkan kebimbangannya terhadap cadangan kerajaan untuk meneliti pelaksanaan subsidi kerajaan berjumlah lebih RM10 billion, memandangkan rakyat akan menghadapi kenaikan harga barang yang lebih berganda pada masa akan datang.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata kebiasaannya rakyat akan menghadapi kenaikan harga barang keperluan harian apabila subsidi itu diteliti semula.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi adik Muhammad Shakir 14 bulan yang menderita akibat tiada lubang najis sejak ianya dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab ll di sini petang tadi.

Kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang berkata, Jabatan Perdana Menteri akan berbuat demikian bagi memberi impak yang besar kepada rakyat.

Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, barangan keperluan seperti minyak, gula, gas memasak dan lain-lain akan naik harga berlipat kali ganda selepas kajian semula terhadap subsidi.

"Bulan Disember lalu empat kali kenaikan harga barang berlaku termasuk kenaikan empat dalam satu, iaitu minyak, gula, gas dan minyak masak.

"Selaras dengan itu kos hidup rakyat semakin membebankan, apa lagi awal tahun ini rakyat telah menghadapi kenaikan harga barang yang semakin teruk terutama bawang putih yang meningkat kepada 62 peratus.

"Harga gula dijangka akan meningkat lagi berikutan Brazil pengeluar gula akan menaikkan harganya berikutan banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini,"ujarnya.

Sambungnya, alasan kerajaan kononnya harga barangan terpaksa dinaikkan kerana negara ini terikat dengan terbuka mengikut pasaran antarabangsa.

Namun bagaimanapun, tambahnya kerajaan tidak pula mengikut harga pasaran kereta negara sebagaimana yang dijual di peringkat dunia yang jauh lebih murah berbanding yang dijual kepada rakyat di negara sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed, memansuhkan perkara ini kerana ianya membebankan rakyat.

Katanya, sekiranya harga barangan keperluan harian diguna pakai ikut pasaran dunia, kenapa pembelian kereta pula tidak dibuat sedemikian.

"Kerajaan perlu selaraskan perkara itu, jangan hanya guna pakai sistem yang menguntungkan pemimpin kerajaan semata-mata hingga membebankan rakyat,"ujarnya lagi.

9 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Mengapa kita perlu import bekalan gula daripada Brazil? Mengapa kita tidak memproses gula secara tempatan?

Tanpa Nama berkata...

jika subsidi hendak diteliti biarakan ia diteliti untuk memberikan lagi lebih peruntukan subsidi bukan pemotongan subsidi.

Tanpa Nama berkata...

pembangkang seperti biasa terus menimbulkan spekulasi tidak tepat walaupun tindakan kerajaan mengkaji pelaksanaan subsidi itu masih diperingkat cadangan. pembangkang juga perlu banyak mengkaji realiti kenaikkan harga barang ini secara neutral bukan berdasarkan emosi politik semata2. kenapa PAS tidak buat protes kenaikkan harga air di kedah dan pulau pinang? kalau pembangkang yang buat semuanya halal la??

Tanpa Nama berkata...

biasanya kerajaan akan meneliti pelaksanaan subsidi bagi mengkaji mekanisme terbaik mengenai pelaksanaan penyaluran subsidi, merangkumi bahan petroleum, makanan dan infrastruktur lain yang mana hasil dari penelitian itu akan digunakan oleh kerajaan dalam menentukan dasar pemberian subsidi negara pada masa depan.

Paquin berkata...

Tak perlulah risau sangat, lagipun inikan baru cadangan saja. So terpulanglah pada kerajaan untuk lakukan apa yang difikirkan patut.

Paquin berkata...

Apapun saya harap isu ni dapat ditanggani dengan baik.

Bujang Senang berkata...

Semoga kenaikkan harga barang-barang dalam keadaan yang terkawal. Jangan naik ikut suka hati saja. Yang paling ketara sekarang ialah bawang dan minyak masak yang naik harganya. Harap kerajaan cuba kurangkan beban rakyat. Jangan tambahkan lagi beban mereka.

elia berkata...

Jangan bimbang kerana kerajaan akan memastikan rakyat didahulukan.

elia berkata...

Diharap agar pembangkang akan dapat sama2 kerajaan untuk menjayakan usaha ini. Tidak ada salahnya menyokong jika ianya untuk kebaikkan bersama.