Sabtu, 22 Januari 2011

PAS Akan Bertanding Di Merlimau

KELAB GREENBOC

Banyak pihak terutama di akar umbi mahu PAS terus bertanding mewakili Pakatan Rakyat di Merlimau. Malah Merlimau dianggap antara kerusi berpotensi parti Islam itu di Melaka.

Dalam pilihan raya umum tiga tahun lalu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dari BN dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya.

Malaysiakini melaporkan, "Berdasarkan prestasi 2008, prestasi kita di Merlimau menyaksikan swing (perubahan) undi sebanyak 19 peratus, tertinggi di Melaka," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari sambil memberitahu sepanjang sejarah pilihan raya di Melaka, undi Melayu tidak banyak berubah.

Daripada 10,471 pengundi di DUN itu, 64.69 peratus adalah Melayu, Cina (21.11 peratus), India (14.16 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.04 peratus.

Adly juga berkata, Merlimau merupakan penanda aras bagi kemenangan Pakatan di Melaka.

"Merlimau ini kawasan separa bandar. Kalau di sini kita menang, sudah tentu kawasan-kawasan bandar yang lain akan turut tumbang," katanya sambil berkata 'kesan domino' itu akan melanda DUN Bukit Baru, Teluk Mas dan Paya Rumput.

Di Merlimau, beberapa orang ahli PAS turut menyatakan mereka telah bersedia untuk menggerakkan jentera parti di peringkat akar umbi bagi mempastikan kejayaan parti berkenaan di di dalam pilihanraya kecil kali ini.

Mereka juga turut kecewa dengan kenyataan PKR, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider bahawa PKR mahu meletakkan calon mereka meskipun sudah diketahui kerusi itu milik PAS.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan menawarkan ketua sayap mudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Melaka Goh Leong San, PAS akan diberi keutamaan untuk bertanding di Merlimau, lapor TMI lagi.

“Kepimpinan Pakatan kemungkinan akan bertemu hujung minggu ini ataupun selepas itu, bukan hari ini, kerana kami hendak menunggu hari penamaan calon Tenang terlebih dahulu.

“Kami akan bertemu sehari atau dua selepas itu,” katanya.

“Pakatan mempunyai persefahaman berhubung kerusi ditandingi, penduduk Melayu lebih 60 peratus ... kami menghormati kerja yang dilakukan oleh PAS di kawasan itu, biar PAS membuat keputusan mengenai calon,” kata beliau.

Goh yang juga Adun Kesidang memberitahu, Pakatan Rakyat akan memfokus isu-isu negeri dan bukannya peringkat nasional pada pilihan raya kecil kali ini.

Kebetulan pula kata beliau, Pakatan Rakyat akan mengadakan majlis makan malam di Pekan Merlimau hari ini, yang akan turut dihadiri oleh timbalan pengerusi DAP nasional Dr. Tan Seng Giaw, Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim dan kemungkinan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu.

Kerusi DUN Merlimau yang mempunyai 10,500 pemilih, terdiri daripada 64.7 peratus pengundi Melayu, 21 peratus Cina dan 14 peratus India.

Tiada ulasan: