Ahad, 2 Januari 2011

Palanivel sedia terima ahli, pemimpin MIC dipecat Samy Vellu



G Palanivel menyatakan kesediaan untuk menerima semula mereka yang dipecat dan meninggalkan MIC ketika kepimpinan Samy Vellu. — Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR — Senator Datuk G. Palanivel bersedia untuk memaafkan kesemua ahli dan pemimpin MIC yang pernah dipecat bekas presiden MIC dan membuka semula pintu parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kepada mereka.

Bagaimanapun presiden baru MIC itu memberi amaran keras kepada bekas ahli-ahli parti terbabit bahawa kesediaan untuk menerima mereka balik bukan petanda beliau seorang pemimpin yang lemah atau mudah terpengaruh.

“Biar saya jelas (dalam perkara ini), saya seorang pemimpin yang berbeza. Saya sangat tegas, serius tetapi saya juga seorang yang rendah hati dan sopan, bertanggungjawab dan saya seorang yang rendah diri. Saya tidak lemah dan saya bercakap minda saya.

“Saya tidak mahu musuh. Saya mahu jadi kawan setiap orang,” kata beliau pada pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Timbalan menteri itu menambah, beliau mahu mendampingi kesemua bekas ahli MIC yang kepimpinan sebelum ini telah memecat dan mahu mereka kembali ke pangkuan MIC.

Palanivel berkata, beliau sanggup untuk mendengar keluhan dan memenuhi keperluan mereka, tetapi memberi amaran agar tidak mempersalahkan parti atas pemecatan mereka.

“Mereka boleh bercakap dengan kami tetapi apa pun, disiplin adalah aspek yang penting dalam setiap parti.

“Setiap parti ada peraturan dan undang-undang mengenai disiplin, jadi jika mereka melanggar dan tindakan diambil ke atas mereka, mereka tidak harus mempersalahkan kami.

“Tetapi kami bersedia untuk memaafkan mereka,” katanya.

Sehubungan itu Palanivel, meminta mereka yang dipecat oleh DatukSeri S. Samy Vellu termasuk sebahagian mereka sepanjang enam bulan terakhir sebelum beliau bersara dan juga mereka yang memusuhinya agar kembali ke MIC dan menghulurkan kerjasama demi parti.

“Saya hanya berharap kesemua mereka yang dipecat dan mereka yang tidak berkawan dengan saya, mereka yang membangkang saya, bukan sahaja rakan saya, malah mereka rakan MIC.

“Kami mahukan mereka menjadi rakan dan penyokong MIC dan BN dan kemudian kami akan mencari jalan dan ruang untuk mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor ini menambah, kesediaannya untuk mendampingi bekas pemimpin dan ahli MIC tidak bermakna beliau tidak menghormati Samy Vellu, yang menerajui MIC selama tiga dekad sebelum melepaskan jawatannya pertengahan bulan lalu.

“Saya seorang pemimpin yang berbeza,” katanya.

Samy Vellu dan Palanivel merupakan antara pemimpin MIC yang tewas dalam pilihan raya umum 2008.

Palanivel juga tidak mendapat tiket untuk bertanding semula pada pilihan raya kecil April lalu di kawasan Hulu Selangor ekoran bantahan Umno.

Antara mereka yang dipecat pada Mei dan Jun lalu ialah Kumar Aamaan dan K.P Samy yang merupakan anggota jawatankuasa kerja pusat MIC dan timbalan ketua Pemuda MIC pusat V Mugilan, yang juga Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor.

Mereka dipecat kerana mendesak Samy Vellu berundur sebelum Disember 2010, bukannya pada suku ketiga 2010.

Mereka juga terlibat dalam kempen Gerakan Anti Samy (GAS).

Turut dipecat ialah bekas ketua MIC Petaling Jaya Selatan V Subramaniam atau mesra dikenali “Barat Maniam”, penyokong kuat Palanivel ketika pemilihan pusat MIC dua tahun lalu.

Pada Rabu lalu, Mugilan memberitahu The Malaysian Insider bahawa Palanivel harus menerima semula kesemua anggota MIC yang dipecat.

Beliau juga mendakwa sepanjang tiga dekad lalu Samy Vellu telah memecat sekitar 100,000 ahli sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

“Adalah penting Palanivel sebagai presiden baru membuka semula pintu MIC kepada kesemua mereka (dipecat).

“Jangan ketepikan sesiapa dan perlu ingat bahawa di hati, kami masih merupakan ahli MIC,” katanya.

Tiada ulasan: