Selasa, 18 Januari 2011

Palanivel pengerusikan mesyuarat CWC MIC pertama di Segamat

KUALA LUMPUR — Presiden MIC Datuk G. Palanivel mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja pusatnya (CWC) di Segamat, Johor pagi ini ketika Barisan Nasional (BN) bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Tenang, akhir bulan ini.

Ia mesyuarat CWC pertama sejak Palanivel mengambil alih jawatan sebagai presiden kelapan MIC.

“Mesyuarat CWC hari ini adalah yang pertama bagi Palanivel selaku presiden parti, dan ia diadakan di Segamat,” kata Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan ketika dihubungi pagi ini.

“Datuk Seri Samy Vellu pernah mengadakan mesyuarat CWC di luar Kuala Lumpur ketika era kepimpinannya, dan mesyuarat hari ini sudah lama dirancang oleh presiden baru untuk mendekati rakyat,” kata Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor.

“Ketika sesi sumbang saran (di Kuala Lumpur) bulan lalu, Datuk Palanivel (gambar) berkata mahu mengadakan mesyuarat-mesyuarat CWC MIC di luar ibu negara, itu salah satu pendekatan kepimpinannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat pagi ini diadakan ekoran pilihan raya kecil Tenang, Kamalanathan berkat, perkara itu sudah lama dirancang dan secara kebetulan pilihan raya kecil diadakan hujung bulan ini.

Susulan mesyuarat itu, kata beliau, pemimpin-pemimpin MIC akan mengunjungi kawasan Tenang yang menyaksikan pilihan raya kecil, yang ke-14 sejak 8 Mac 2008, petang ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak, yang juga perdana menteri, berada di kawasan Tenang hari ini.

Bahagian Parlimen Segamat bersempadankan Labis di mana salah satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri adalah kerusi Tenang.

BN akan mengumumkan bakal calonnya esok.

Palanivel mengambil alih jawatan presiden MIC awal bulan lalu dan telah mengadakan sesi sumbang saran dengan anggota CWC pada 23 Disember.

Kerusi Parlimen Segamat kini disandang oleh wakil MIC iaitu Datuk Dr S. Subramaniam yang merupakan timbalan presiden dan Menteri Sumber Manusia.

Tiada ulasan: