Khamis, 27 Januari 2011

Nik Aziz: Sedang Umno tolak Islam, MCA usah cakap hal Islam



Normal Sudirman (kiri) berceramah dengan diperhatikan oleh Nik Aziz Nik Mat ketika berkempen di Kg Redong menjelang hari pengundian Ahad ini. — Foto oleh Choo Choy May

LABIS — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas tindakan MCA — rakan Umno dalam BN — yang terus-menerus membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Mursyidul Am PAS mempersoalkan tindakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meneruskan agenda untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Islam di kawasan itu.

Kata beliau, sedangkan Umno sendiri menolak pendekatan Islam dalam politik kerana tidak faham, rakannya MCA tidak wajar menyentuh isu Islam dalam kempennya.

“Dia (MCA) tahu ke ajaran Islam? Macam mana dia boleh cakap benda yang dia tidak faham?

“Usah cakap MCA tapi Umno pun cakap tolak Islam, kalau faham mustahil tolak Islam,” kata beliau pada sidang media di Kampung Redong di sini ketika berkempen untuk calonnya Normala Sudirman.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu juga melahirkan rasa duka cita apabila Umno yang merupakan parti Melayu terbesar itu juga menolak Islam dengan memilih pendekatan nasionalis.

“Kenapa tolak Islam? Saya duka cita kerana Umno tolak Islam.

“Kalau MCA cakap macam itu tidak mengapa sebab dia tidak faham (Islam).

“Orang kalau bagi komputer pada orang kampung, mesti mereka tidak reti pakai... kalau nak bagi mesti bagi pada anak yang tahu tentang komputer,” katanya.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Ketika ditanya bagaimana peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil itu, Nik Aziz berkata ia terpulang kepada pengundi untuk membuat pilihan.

“Peluang (menang) terletak kepada pengundi, sama ada nak kekal jahiliah atau pilih Islam.

“Islam ada dua (pilihan), jahiliah atau Islam,” katanya.

Sebelum ini, Dr Chua menegaskan, akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Bekas menteri kesihatan itu berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

“Jika Pakatan (Rakyat) menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan (Parti) Keadilan (Rakyat),” katanya.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calon PAS Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi lelaki.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa parti komponen BN terutamanya MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.

Selain itu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

PAS menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali meminta Umno menasihatkan MCA supaya menghormati adat dan tatatertib orang Islam.

Tiada ulasan: