Jumaat, 7 Januari 2011

Najib sahkan temui MP BN esok, persiapan hadapi PRU-13



Najib (tengah) dikatakan akan bertemu setiap ahli Parlimen BN selama lima minit. — gambar fail

PUTRAJAYA— Pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) esok sebahagian daripada langkah membuat persiapan ke arah pilihan raya umum ke-13, akui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Bagaimanapun Najib tidak memberi butiran pertemuan yang julung kali diadakan sejak beliau mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009.

“Semuanya menuju ke arah pilihan raya umum sebab kami mahu dipilih semula... kami mahu berkhidmat untuk rakyat.

“Pertamanya, kami perlu berkhidmat kepada rakyat dan kemudian, biar rakyat membuat keputusan,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau mengulas persoalan sama ada pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen esok khusus untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Presiden Umno ini menafikan pertemuan esok juga ada kaitan dengan kemungkinan rombakan Kabinet.

“Rombakan? Siapa kata ada rombakan?” kata beliau dengan senyuman.

Perdana Menteri berkongsi maklumat bahawa beliau akan dimaklumkan oleh wakil rakyat-wakil rakyat terbabit mengenai situasi semasa di kawasan masing-masing.

Tambah Najib, ia sebahagian daripada usaha transformasi politik yang dibawa beliau.

“Tujuannya normal, mereka mahu bertemu dengan saya dan saya juga mahu bertemu dengan mereka untuk mengetahui situasi di bahagian masing-masing,” kata Pengerusi BN ini.

Menerusi pertemuan itu, kata Najib berkata, beliau perlu memberitahu apa yang harus dilakukan dan “saya perlu mengetahui kedudukan mereka di bahagian mereka.”

Laporan The Malaysian Insider 1 Januari lalu menyebut, Najib dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN di sebalik spekulasi bahawa perdana menteri kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum dalam waktu terdekat.

“Najib akan bertemu dengan setiap ahli Parlimen BN selama lima minit pada 8 Januari. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam, jadi kemungkinan akan berlarutan sehingga Ahad (9 Januari),” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Seorang ahli Parlimen BN mengesahkan pertemuan itu sambil berkata, Najib telah meminta mereka melaporkan pandangan tentang persediaan di bahagian masing-masing.

“Kami kena berikan satu laporan. Tetapi lima minit adalah waktu yang singkat kecuali setiap orang yakin dan mengatakan kesemuanya OK,” kata wakil rakyat itu.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun ini ketika cuti sekolah bulan Mac. Malah ada yang mengatakan ia akan diadakan suku kedua.

Bagaimanapun BN sekarang dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkannya sehingga apabila projek-projek ekonomi diperkenalkan Najib mula merancakkan ekonomi tempatan.

The Malaysian Insider difahamkan Najib telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin komponen BN awal bulan lalu di Parlimen untuk membincangkan sama ada mengadakan pilihan raya umum pada bulan Mei atau Jun.

Mandat semasa hanya berakhir 20 April 2013.

Ia pertemuan pertama seumpama itu sejak Najib menjadi perdana menteri April 2009.

BN juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Tiada ulasan: