Jumaat, 14 Januari 2011

Najib dijadual rai majlis perkahwinan Taib

BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang akan melawat Sarawak hujung minggu ini, akan menghadiri majlis meraikan perkahwinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Kuching, esok.

NONESetiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Jameson Ahip Nawie berkata, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan bersama-sama dengan 460 tetamu jemputan pada majlis yang diadakan bagi meraikan pernikahan Taib, 74, dengan Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, 28, dari Syria di Kompleks Dewan Undangan Negeri yang baru di Petra Jaya di Kuching.

Taib bernikah dengan Ragad pada 18 Dis lalu.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng adalah tetamu kehormat majlis itu.

Sementara itu, menurut nota makluman media Jabatan Penerangan Sarawak hari ini, Najib yang dijadual tiba di Bintulu dari Kuala Lumpur lewat malam ini, akan melawat projek empangan hidroelektrik Bakun bernilai RM7.3 bilion di Belaga esok.

NONEPerdana Menteri dijadual menghadiri taklimat mengenai impak sosioekonomi projek terhadap masyarakat tempatan oleh pemaju projek, Sarawak Hidro Sdn Bhd, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Belaga untuk melancarkan Klinik Kesihatan 1Malaysia dan projek Jiwa Murni.

Najib kemudian dijadual menghadiri majlis "Pemimpin Bersama Rakyat" di Rumah Belor, Sungai Asap dan sebelah malamnya menghadiri majlis meraikan pernikahan Taib.

Pada Ahad, Najib dijadual merasmikan Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching sebelum merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Sungai Tapang Hilir di Kuching.

Perdana Menteri dijadual merasmikan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan dekat Kuching sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: