Sabtu, 22 Januari 2011

Mustahil Wanita Umno Labis tolak calon lelaki BN, kata ketua


KUALA LUMPUR — Wanita Umno Labis menafikan dakwaan bahawa sayap itu tidak menyokong pemilihan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Pakatan Rakyat yang diwakili PAS menurunkan calon wanita — Normala Sudirman dan sebelum ini wujud spekulasi BN juga kemungkinan akan meletakkan kaum ibu di Tenang kali ini.

Jumlah pengundi wanita di Tenang mengatasi kaum lelaki. Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh berkata, pihaknya setuju dan akur dengan keputusan yang dibuat kepimpinan Umno dalam memilih calon terbaik untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

“Ini adalah cerita yang sengaja digembar-gemburkan dan ia adalah fitnah yang sengaja dimainkan.

“Kami (Wanita Umno Labis) setuju dan akur dengan keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi (bagi menentukan calon). “Ini semua fitnah yang mahu melaga-lagakan sedangka kami di sini menyokong penuh calon yang dipilih (Azahar),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Haslinda. yang sebelum ini disebut-sebut akan menjadi calon BN mengambil kira pertimbangan pengundi wanita di Tenang juga menegaskan, sekiranya beliau tidak menyokong pemilihan Mohd Azahar sudah pasti tidak akan hadir ketika pengumuman calon dibuat Rabu lalu.

“Saya kenal beliau dan beliau juga kenal saya walaupun tinggal di Rengit, dan khabar angin mengatakan saya tidak sokong adalah tidak benar, saya nafikan sekeras-kerasnya.

“Kalau saya tidak sokong pada hari pengumuman calon saya tidak akan hadir, tapi saya hadir untuk memberikan sokongan kepada calon BN,” katanya.

Beliau juga berkata dakwaan itu kemungkinan direka untuk meruntuhkan semangat jentera BN sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

“Kalau pengundi di sini boleh terima Mohd Azahar sebagai calon, kenapa pula Wanita Umno Labis tolak. Ia adalah perkara yang mustahil.

“Mungkin ia dicipta untuk melemahkan dan melaga-lagakan jentera parti. Kami Umno Labis menyokong penuh pemilihan Mohd Azahar sebagai calon BN,” katanya.

Tambah beliau, soal calon bukan perkara yang paling penting tetapi kemenangan parti yang menjadi aspek terpenting.

“Soal siapa calon tidak penting, sama ada dia lelaki atau perempun ia tidak penting kerana yang penting adalah memastikan parti menang.

“Saya tidak penting, (Mohd) Azahar tidak penting, apa yang penting adalah parti dan kami mesti memastikan parti menangb dalam pilihan raya kecil ini.

“Ini bukan soal individu tapi soal parti, sesiapa sahaja boleh jadi calon tapi jentera di bawah ini yang akan memastikan parti akan menang,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Umno Labis Abd Razak Abd Rashid juga menegaskan, sayap Wanita Umno kawasan itu menyokong penuh pemilihan Mohd Azahar sebagai calon BN.

“Kalau lihat dari segi sokongan Wanita Umno tiap-tiap hari mereka datang ke pejabat (Umno Labis), macam nak roboh.

“Saya rasa ia tidak benar kerana saya lihat Wanita Umno Labis memberikan sokongan penuh, begitu juga Ketua Wanita Umno Labis.

“Memang tiada masalah langsung, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya. Proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang berlangsung pagi ini dan pengundian pada 30 Januari.

Tiada ulasan: