Selasa, 25 Januari 2011

Mustaffa Kamil pula terima surat tunjuk sebab, mungkin ramai lagi



KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelihatan memulakan awal tahun 2011 dengan menggerakkan tindakan mendisiplinkan parti komponen Pakatan Rakyat itu — kali ini memberikan surat tunjuk sebab kepada bekas calon timbalan presiden, Mustaffa Kamil Ayub.

Bekas pengerusi PRK Perak ini, yang pernah dilihat sebagai ‘orang kesayangan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan sudah menerima surat tunjuk sebab tengah hari semalam.

“Ia disampaikan ke peti surat rumah saya di Kota Damansara pada pukul 12 tengah hari tadi (semalam),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Mustaffa enggan memberikan maklumat lanjut mengenai kandngan surat itu.

“Saya hanya dua perkara untuk dikatakan, pertama, saya ada menerima surat tunjuk sebab daripada parti hari ini dan kedua, saya tidak mahu memberi komen,” kata beliau.

Beliau juga enggan berkata sama ada akan respons kepada surat itu.

The Malaysian Insider difahamkan ia kemungkinan ada kaitan dengan kritikan dan pendirian beliau berhubung proses pemilihan partinya tahun lalu.

Selain beberapa kenyataan mengkritik proses pemilihan beliau juga pernah memberikan kata dua 48 jam kepada pucuk kepimpinan agar membatal dan mengadakan semula proses pengundian.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tidak dapat mengesahkan sama ada parti ada mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Mustaffa.

Bagaimanapun beliau ada membayangkan bahawa parti ada mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada lebih daripada seorang pemimpin.

“Saya menandatangani lebih seratus surat tunjuk sebab. Saya tidak boleh ingat sama ada Mustaffa Kamil salah seorang daripada mereka.

“Hubungi saya esok dan saya boleh berikan gambaran sebenar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mustaffa tewas dalam pemilihan itu yang turut ditandingi Datuk Zaid Ibrahim tetapi menarik diri di peringkat awal atas alasan proses pengundian ada kepincangan.

Persaingan itu dimenangi oleh Azmin Ali.

Awal tahun ini PKR juga memberikan surat tunjuk sebab 45 muka surat kepada Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan, salah seorang calon naib presiden yang gagal.

Tiada ulasan: