Selasa, 25 Januari 2011

Mustaffa didakwa halang proses pemilihan PKR Pasir Salak

Jamilah Kamarudin

Terdapat satu aduan yang dipercayai dilaporkan daripada cabang itu sendiri bahawa Mustaffa melakukan tindakan sedemikian di Pejabat PKR Pasir Salak di Perak.


PETALING JAYA: Pengarah Biro Latihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustaffa Kamil Ayub diberi notis tunjuk sebab daripada PKR disebabkan tindakannya menghalang proses pemilihan parti peringkat Pusat di Cabang Pasir Salak pada 25 September tahun lalu.

Notis rasmi daripada Pejabat Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang bertarikh 13 Januari lalu itu dikeluarkan berikutan terdapat satu aduan yang dipercayai dilaporkan daripada cabang itu sendiri bahawa Mustaffa melakukan tindakan sedemikian di Pejabat PKR Pasir Salak di Perak.

Berikutan tindakannya itu, Mustaffa yang juga bekas Pengerusi PKR Perak telah mengingkari keputusan parti dan melanggari disiplin parti mengikut Fasal 27.7 yang boleh membawa kepada pelucutan ahli, seperti yang dinyatakan dalam notis terbabit.

Notis itu dialamatkan ke kediaman Mustaffa di Seksyen7 Kota Damansara disini dan diberikan tempoh 10 hari daripada tarikh notis yang dikelaurkan bagi memberikan surat tunjuk sebab.

“Sekiranya saudara gagal menjawab surat ini dalam tempoh yang ditetapkan diatas, maka Jawatankuasa Disiplin akan membuat anggapan bahawa tuduhan tersebut tidak dibafikan dan meneruskan tindakan disiplin tanpa merujuk kepada saudara lagi,” kata Saifuddin dalam notis tersebut yang ditandatanginya.

Namun Mustaffa mempertahankan dirinya hanya menerima surat tersebut semalam pada pukul jam 12 tengahari, sehari lewat daripada tempoh masa yang beliau ada untuk kemukakan surat tunjuk sebab.

Saifuddin ketika dihubungi FMT mengesahkan pihaknya sehingga kini masih tidak menerima sebarang respon daripada Mustaffa.

Beliau bagimanapun berkata pihaknya sedia mendengar jawapan atau alasan daripada Mustaffa berikutan kelewatan tarikh penerimaan surat tersebut walaupun dalam surat tersebut tertera bahawa ia juga dihantar melalui emel, mengikut prosedur yang ditetapkan ibu pejabat.

“Jika didapati kelewatan penerimaan menjadi punca dan di luar bidang kawalan, tak menjadi masalah bagi Mustaffa berbincang dan ini boleh dipertimbangkan semula.

Dalam masa yang sama, kita akan semak semula rekod penghantaran notis tersebut yang dihantar melalui emel dan surat berdaftar,” katanya.

Beliau berkata, Mustaffa juga mempunyai peluang untuk mengemukakan alasan untuk maklumkan kepada pejabat parti melalui apa saja cara sama ada emel, surat, mahupun sistem khidmat pesanan ringkas.

“Namun sampai sekarang tidak ada komunikasi antara pejabat PKR dengan beliau (Mustaffa),” katanya.

Selepas berakhirnya pengumuman pimpinan baru parti semasa Kongres Nasional PKR November tahun lalu, Mustaffa merupakan pemimpin veteran PKR kedua yang diberikan notis tunjuk sebab selepas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan.

Gobalakrishnan menerima notis yang sama berikutan tindakannya ‘menyerang’ pemimpin tertinggi PKR termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Azmin Ali melalui tulisan di laman sosial Twitter selepas tewas dalam pemilihan merebut kerusi naib presiden.

Berebeza dengan Mustaffa, beliau bagaimanapun menghadapi risiko tindakan disiplin selepas gagal menjawab notis surat tunjuk sebab walaupun diberikan peluang sebanyak dua kali oleh parti itu.

PKR pada awalnya memberikan masa selama seminggu untuk beliau menjawab surat tunjuk sebab setebal 45 muka surat yang difaks ke pejabatnya pada 4 Januari lalu.

Berikutan memberi alasan bahawa beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menjawabnya, parti kemudian melanjutkan tempoh tersebut dengan menghantar notis kedua bertarikh 10 Januari yang memaklumkan bahawa Gobalakrishnan perlu menjawab sebelum 17 Januari.

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di program ‘Luncheon Talk’ di Shah Alam hari ini berkata isu ini akan dibangkitkan dan dibincangkan oleh pemimpin Biro Politik parti yang akan bermesyuarat esok.

Tiada ulasan: