Jumaat, 14 Januari 2011

Mustafa wakili Pakatan jumpa SPR bincang p'raya adil

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat diwakili Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan isu pilihan raya yang bebas dan adil.

Demikian kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Pertemuan itu dicadangkan pada 19 Januari ini, tiga hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Tenang.

"Datuk Mustafa Ali mewakili ketiga-tiga parti telah menghubungi SPR untuk mengadakan pertemuan dengan kadar segera dalam isu menyentuh pilihan raya Tenang dan juga prosedur dan keprihatinan kita dalam isu SPR," kata Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menurut Anwar, mesyuarat juga meminta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan pengarah pilihan raya ketiga-tiga parti untuk mengatur pertemuan dengan Bersih bagi membincangkan isu-isu percanggahan peraturan pilihan raya.

"Kita juga minta YB Azmin Ali untuk menyegerakan mesyuarat bersama pengarah-pengarah pilihan raya untuk mengadakan pertemuan khas dengan Bersih supaya isu-isu yang menyentuh pilihan raya diteliti dengan bukti-bukti percanggahan peraturan dan semangat pilihan raya bebas," katanya.

Sementara itu, Mustafa menambah, pertemuan dengan SPR itu bagi memastikan pilihan raya dapat berjalan dengan adil tanpa sebarang penipuan.

"Menjadi kelaziman apabila kita menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, kita mengadakan pertemuan dengan SPR kerana yang penting bagi kita ialah pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

Beliau juga berkata, pertemuan itu bukan sahaja untuk membincangkan prosedur pilihan raya di Tenang tetapi turut akan membincangkan pilihan raya Dun Sarawak yang dijangka berlangsung April ini.

"Hari ini saya telah menghubungi SPR untuk adakan perjumpaan, bukan sahaja membincangkan soal pilihan raya di Tenang tapi juga pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Kita nak tahu adakah satu peraturan lain kerana kadang-kadang dalam menghadapi pilihan raya ada tambahan-tambahan peraturan.

"Kita cadangkan tarikh pada 19 Januari tapi kita masih menunggu jawapan SPR dan ketiga-tiga parti akan hantar wakil," katanya.

Tiada ulasan: