Sabtu, 22 Januari 2011

Muhyiddin: Jangan perlekeh calon lawan

BERNAMA


Muhyiddin (dua dari kanan) bersama calon BN Mohd Azhar Ibrahim dan Shahrizat Abdul Jalil. - Foto oleh Choo Choy May

LABIS — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak memandang ringan dan memperlekehkan calon parti lawan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Sebaliknya, mereka perlu menganggap ia sebagai cabaran besar dan perlu bekerja keras bagi mencapai sasaran untuk mencapai majoriti undi lebih 5,000 yang pernah diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.

“Bila ada persaingan, kita tidak mahu perlekehkan calon lawan. Setiap pemimpin perlu menganggap ini sebagai cabaran besar. Kita mahu lihat pelan transformasi Perdana Menteri diterima baik di semua peringkat masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil DUN Tenang di Pejabat Majlis Daerah Labis di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama lebih kurang 12,000 penyokong BN mengiringi calon BN Mohd Azahar Ibrahim, 39, yang merupakan bekas penolong pentadbir Tanah Daerah kecil Rengit berarak ke pusat penamaan calon.

PAS pula mencalonkan Ketua Muslimah Labis, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti. Menyentuh mengenai kenyataannya pada 19 Jan lepas yang mahu BN tebus balik majoriti undi lebih 5,000 pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata ia bertujuan bagi memotivasikan jentera BN untuk bekerja lebih kuat bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kita pernah dapat (majoriti itu). Itu cabaran kita. Untuk saya, itu satu sasaran. Itu usaha kita untuk memotivasikan jentera. Itu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita. Kita hendak lihat apa hasilnya,” katanya.

Berdasarkan semangat dan sambutan yang diberikan oleh jentera BN semasa proses penamaan calon hari ini, beliau yakin BN mempunyai peluang yang baik untuk memenangi pilihan raya kali ini.

“Saya yakin dengan calon kita. Latar belakang cukup baik, tidak ada apa-apa masalah perwatakan. Lagipun kawasan ini merupakan kawasan beliau sendiri. Kriteria ini dapat membantu pengundi-pengundi buat keputusan,” katanya.

Ditanya sama ada BN yakin dapat mencapai sasaran majoriti undi melebihi 5,000, Muhyiddin berkata BN menjangkakan sokongan kepada parti komponen itu akan bertambah berdasarkan beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh parti itu.

Tiada ulasan: