Sabtu, 29 Januari 2011

Mufti Perlis: Watikah lantikan Dr Juanda belum dibaharui

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dr Juanda Jaya dilaporkan ‘goyah’ untuk meneruskan tugas sebagai Mufti Perlis kerana watikah pelantikan beliau, yang akan tamat tempoh dalam tiga hari lagi, masih belum diperbaharui.

Difahamkan, watikah berkenaan akan tamat Isnin ini, sekali gus menyukarkan mufti muda itu untuk meneruskan tugas walaupun kontrak beliau sebagai Mufti Perlis hanya berakhir Januari tahun depan.

Malah, sumber Jabatan Mufti Perlis sendiri ketika dihubungi mengesahkan Dr Juanda sudah mula bercuti semalam dan dijangka berada di Sarawak sementara menunggu urusan berhubung watikah berkenaan selesai.

Beliau menggantikan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai mufti negeri itu dua tahun yang lalu.

Dipetik Berita Harian hari ini, Dr Juanda mengakui tempoh sah watikah pelantikan beliau sebagai Mufti Perlis bakal berakhir Isnin depan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu kelewatan itu.

“Pelantikan seorang mufti meliputi dua bidang kuasa iaitu membabitkan kuasa pentadbiran dan kuasa ketua agama.

“Justeru, tanpa watikah saya seolah-olah seorang mufti tidak sah dan tidak ubah seperti seorang penceramah yang berceramah kepada orang ramai tanpa tauliah,” kata beliau.

Sumber berkata, Dr Juanda dimaklumkan sudah menerima perkenan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk menyambung watikah pelantikan beliau sebagai Mufti Perlis, namun sehingga kini urusan mengenainya masih belum kelihatan.

Ia secara tidak langsung mencetuskan spekulasi kononnya khidmat Dr Juanda bersama Perlis bakal berakhir walaupun beliau dilihat cemerlang sepanjang tempoh hampir dua tahun menerajui Jabatan Mufti negeri itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Isa Sabu, ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri tidak berdepan masalah dan amat berpuas hati dengan khidmat Juanda sepanjang menyandang jawatan sebagai Mufti Perlis.

Tiada ulasan: