Isnin, 24 Januari 2011

MIC mahu Putrajaya hormati pendirian gesa novel ‘Interlok’ digugur



Palanivel menegaskan Kementerian Pelajaran perlu menghormati pendirian wakil-wakilnya yang mahu novel Interlok ditarik balik dan tidak digunakan sebagai teks sastera di sekolah. — Gambar fail

KUALA LUMPUR — MIC mahu Kementerian Pelajaran menghormati pendirian wakilnya yang menggesa agar Putrajaya menarik balik novel “Interlok” daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Presidennya Datuk G. Palanivel berkata, kesemua tujuh ahli panelnya pada pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Selasa lalu telah bersetuju bahawa novel kontroversial itu wajar ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

“Tiada konsensus bahawa buku berkenaan selari dengan semangat 1 Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini mengulas pandangan Menteri Pelajaran kelmarin dan respons balas salah seorang wakil MIC semalam.

Justeru kata beliau, tidak harus ada kenyataan untuk membuat rakyat seolah-olah mempercayai bahawa kandungan novel itu selari dengan gagasan 1 Malaysia dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata beliau, jika begitulah keadaan, perkembangan itu satu kekecewaan besar.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa wakil MIC yang bertemu Kementerian Pelajaran minggu lalu telah menegaskan bahawa novel subjek sastera “Interlok” yang kontroversi harus ditarik balik daripada digunakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima.

Justeru menurut salah seorang wakilnya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa wakil-wakil yang hadir telah bersetuju novel itu baik dan patut digunakan serta selari semangat 1 Malaysia adalah satu pandangan yang berbeza sama sekali.

Bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, Dr A. Nagappan berkata, kesemua enam wakil MIC telah menzahirkan pendirian sebulat suara bahawa novel itu tidak wajar dibenar untuk digunakan sebagai teks sastera atas alasan kandungannya tidak sesuai bagi tujuan memupuk integrasi dan semangat 1 Malaysia.

“Kami telah mengetengahkan satu pendirian bersama... pendirian kami, wakil MIC (dalam pertemuan minggu lalu) ialah novel ini wajar ditarik balik, tiada cadangan lain daripada kami selain meminta ia tidak digunakan di sekolah,” kata Nagappan.

“Oleh itu satu perkara (novel patut digunakan) yang dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin tidak benar,” katanya.

Kata beliau, pihaknya berpendapat bahawa novel itu tidak wajar digunakan sebagai buku teks sastera berdasarkan pada keseluruhan kandungan ke atas pembangunan sosial masyarakat negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Palanivel berkata, wakil panel MIC telah menzahirkan bahawa mereka tidak akan mengadakan pertemuan lagi dengan Kementerian Pelajaran jika apa yang diketengahkan pada pertemuan minggu lalu diperlekehkan.

“Ini bukan soal ego atau hilang air muka (mana-mana pihak),” kata Palanivel lagi.

Katanya, di sebalik perkembangan semasa terdapat perkara lebih besar yang perlu ditangani dan pihaknya “tidak mahu mempolitikkan isi ini.”

“Tulisan-tulisan yang memberi kesan ke atas perasaan mana-mana kumpulan di Malaysia tidak harus diperkenalkan sebagai sebahagian sukatan sekolah.

“Biar kita tidak menyemai sikap prejudis di kalangan golongan muda. Ia amat sensitif dan berisiko untuk mendedahkan tulisan sedemikian kepada kanak-kanak yang bersekolah,” katanya lagi.

Palanivel menambah, MIC berdiri bersama keputusan yang diambil oleh ahli-ahli panel terbabit, yang menurutnya merupakan pasukan yang berpengalaman.

“Kami berharap Kementerian Pendidikan akan faham dan menghormati kehendak dan perasaan komuniti kami dan datang dengan keputusan yang tegas dan segera dalam isu ini,” katanya lagi.

Katanya, langkah meletakkan nota kaki, glosari dan garis panduan tambahan tidak akan membantu menyelesaikan isu semasa ini.

Mempertahankan pendirian itu, Palanivel berkata, idea pendidikan seks di sekolah juga dibincang dan dibahaskan dengan serius sebelum ia hendak diperkenalkan.

Kelmarin, Muhyiddin dipetik berkata, Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel “Interlok” di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.

Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

“Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini termasuk menyediakan glosari, nota kaki dan panduan yang jelas disediakan kepada guru yang mengajar novel ini,” kata beliau ketika mengulas perkembangan terbaru mengenai isu “Interlok”.

Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai novel tersebut akan diteruskan dengan pemimpin MIC sebelum keputusan muktamad diambil Kabinet sama ada meneruskan penggunaan novel tersebut dalam Sastera tingkatan lima atau sebaliknya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai hasil perbincangan antara panel terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran dan pemimpin MIC sebelum ini kepada Kabinet Rabu lalu.

Berdasarkan makluman, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang baik, intelektual, profesional dan semua ahli panel mendengar hujah dan pandangan dalam suasana mesra, kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, sekiranya diteliti secara mendalam, (kandungan novel) tidak ada apa yang arus dibimbangkan.

“Pada peringkat akhirnya, saya dimaklumkan semua ahli panel akhirnya bersetuju bahawa novel ‘Interlok’ adalah sebuah novel yang baik. Novel ‘Interlok’ menyeru kepada soal perpaduan kaum. Ia selaras dengan gagasan 1 Malaysia.

“Cuma ada kebimbangan MIC atau pun beberapa pihak dalam kelompok masyarakat India terhadap beberapa perkataan yang digunakan. Penulis ini (Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain) apabila dibaca secara keseluruhannya tidak ada niat untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana kaum dalam novel itu,” kata Muhyiddin lagi.

Selain Nagappan lima wakil MIC yang menghadiri pertemuan Selasa lalu terdiri daripada Presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shah, Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr S. Kumaran, Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri Dr T. Marimuthu, bekas pegawai Kementerian Pelajaran G. Krishnabagwan dan Presiden Club Bell Tamil Malaysia SV Lingam.

Penggunaan novel karya Abdullah, yang diterbitkan DBP sebagai teks sastera itu, menimbulkan kontroversi kerana ada kandungannya dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Nagappan juga berkata, wakil-wakil MIC itu telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan semalam dan memutuskan agar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC membuat satu keputusan segera selari dengan pendirian yang diketengahkan dalam pertemuan dengan Kementerian Pelajaran minggu lalu.

Pendirian itu sewajarnya dimaklumkan kepada masyarakat India negara ini, kata wakil itu.

Tiada ulasan: