Ahad, 23 Januari 2011

Menteri tegur pihak 'perdagang' Islam

BERNAMA

Semua parti yang terlibat dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang perlu menghindarkan daripada "memperdagangkan agama Islam" dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh memecahkan perpaduan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata agama Islam tidak boleh "dijual beli" atau dipergunakan semata-mata untuk meraih sokongan politik dengan mengelirukan masyarakat yang akhirnya berlaku pergaduhan dan perpecahan.

"Bila datang saja pilihan raya ia menjadi satu medan untuk orang menabur fitnah dan membangkitkan isu sensitif agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Islam 2011 di Labis, hari ini.

Jamil Khir berkata rakyat perlu berwaspada kerana bagi pilihan raya kecil, fokus kempen itu menjurus kepada satu tempat dan pelbagai isu akan ditimbulkan tetapi isu agama merupakan isu yang amat menyentuh perasaan.

"Saya menasihati orang ramai supaya memahami dalam suasana semasa ini, kita mendapat pelbagai sumber yang boleh membawa kepada fitnah," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu sedar asas kekuatan negara yang makmur ini adalah keutuhan perpaduan dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional membangun dan memajukan negara ini.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara BN yang diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan calon PAS Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 38.


1 ulasan:

awangsaribu berkata...

Kenapa pak menteri ni tak berani cakap terus terang larang MCA dan UMNO jangan ' perdagang ' Islam ?.

Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit, tak gitu ?