Ahad, 9 Januari 2011

MB Selangor cabar Umno sokong pindaan, buktikan ikhlas pertahan raja

TERKINI

SUBANG JAYA – Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mencabar Umno menyokong pindaan perlembagaan jika ia benar-benar ikhlas dalam menjunjung institusi diraja, yang dialung-laungkannya selama ini.

Menteri Besar (gambar) merancang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas hujung bulan ini bagi menyelesaikan kemelut ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

Sidang itu akan membincangkan pindaan perlembagaan negeri.

“Umno (mengatakan bahawa) ia memandang tinggi (kedudukan) Sultan. Mereka (mengatakan) mereka yang mempertahankan raja,” kata beliau sambil menggesa Umno menunjukkan keikhlasan jika benar parti teras Barisan Nasional itu mempertahankan institusi diraja.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 anggota di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 56 kerusi.

Pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga untuk diluluskan.

Khalid juga berkata, beliau tidak pernah memberi kuasa kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud agar bertindak bagi pihak beliau untuk melantik penggantinya Datuk Mohd Khusrin Munawi.

“Pertama, biar saya mengatakan bahawa menteri besar dan Exco tidak pernah memberi arahan kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri untuk bertindak bagi pihak saya ataupun Exco untuk berurusan dalam soal pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Khalid.

“Jika beliau bertindak (dalam soal itu), beliau bertindak sendiri,” katanya.

Hari ini, Khalid juga menolak tanggapan bahawa krisis yang berlarutan akan menghakis sokongan orang Melayu.

“Pengundi mesti tahu bahawa apa sahaja keputusan kami buat, mereka perlu menilai, sama ada ia akan memanfaatkan mereka,” kata Khalid, menteri besar penggal pertama.

Khalid juga berkata, Sultan Selangor telah memberi jaminan akan mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan negeri meskipun pihaknya tidak bersetuju dengan pilihan penyandang semasa jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Khusrin merupakan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

“Saya gembira Tuanku memberi saya jaminan bahawa kami akan terus mengadakan perbincangan dengan istana,” kata beliau.

Dalam kenyataan terbaru pagi tadi, Khalid menafikan bahawa Ramli dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata sebaliknya KSN telah menyerahkan senarai nama calon Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Sultan Selangor melalui Ramli tanpa memaklumkannya kepada Khalid.

“Menteri Besar menegaskan bahawa beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Disember 2010 dan cara ini ternyata

tidak menepati prosedur serta membelakangkan Menteri Besar selain mengetepikan amalan telus dan profesional.

“Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Ramli berkata beliau telah menyenaraikan lapan nama yang layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dan senarai nama itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor serta salinannya turut diberikan kepada Menteri Besar dan Jabatan Perkhidmatan Awam, kira-kira tiga bulan sebelum beliau bersara.

Faekah berkata perkara itu terbongkar apabila pada 21 Disember lepas, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani telah menghantar surat

kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang beliau hantar kepada Ramli berkenaan perkenan Sultan Selangor melantik Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: