Selasa, 18 Januari 2011

Mayat pramugari MAS dijangka tiba di KLIA Rabu

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Mayat pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len, yang ditemui di tempat letak kereta hotel penginapannya di Amsterdam, akan dibawa pulang ke tanah air esok dengan pesawat MAS.

Jurucakap Wisma Putra berkata mayat mendiang dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 7 pagi pada Rabu, dan kos penerbangan itu ditanggung oleh MAS.

“Kami tidak boleh memberikan sebarang komen lain buat masa ini bagi menghormati permintaan keluarga mangsa yang tidak mahu diganggu pihak media,” katanya kepada Bernama hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Dr Fauziah Mohd Taib pula berkata polis negara itu menyerahkan mayat Chin, 34, kepada suami mendiang dan abangnya untuk dibawa pulang setelah siasatan kes itu selesai.

Beliau berkata keputusan bedah siasat menunjukkan tidak ada unsur jenayah dalam kes kematian mangsa.

“Punca kematian mangsa ialah akibat kecederaan parah akibat jatuh dari tempat tinggi. Ia merupakan satu kes yang jelas, namun polis Amsterdam tidak menyatakan sama ada ia kes bunuh diri atau suatu kemalangan,” katanya.

“Justeru, kematian mangsa tidak ada pembabitan pihak lain, serta tidak wujud unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada polis Amsterdam berhubung kes berkenaan, dan bersedia membantu pihak berkuasa negara itu jika diminta.

Dalam kejadian pada 14 Januari itu, mayat Chin yang berasal dari Taman Oakland, Seremban, ditemui di tempat letak kereta hotel penginapannya di Amsterdam oleh pelanggan hotel pada 9 pagi.

Mangsa sepatutnya berlepas pulang ke tanah air dengan MH17 pada hari dia ditemui mati.

Tiada ulasan: