Isnin, 17 Januari 2011

Mayat bayi dalam beg plastik terapung di sungai

MAZNI John bersama Tina Paizal (kanan), trauma selepas menemui mayat bayi dalam beg plastik ketika mandi di sungai Kampung Bakar Batu.

BERITA HARIAN ONLINE

JOHOR BAHRU: Keseronokan dua anak Orang Asli mandi sungai dekat Perling di sini bertukar trauma semalam, apabila beg plastik terapung berhampiran mereka yang diharapkan mengandungi pakaian terpakai, sebaliknya berisi mayat bayi perempuan yang dipercayai dilempar sejurus dilahirkan.

Dalam kejadian di Sungai Danga yang mengalir melalui Perkampungan Orang Asli Bakar Batu di Jalan Perling di sini, bungkusan plastik kuning itu mulanya ditemui Tina Paizal, 9, bersama rakan sebayanya, Mazni John, ketika mereka sedang mandi di situ kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mazni berkata, beliau tidak menyangka bungkusan yang dijumpai itu mengandungi mayat seorang bayi yang dihanyutkan arus ke tempat yang mereka selalu mandi-manda.

“Mulanya kami sangka bungkusan yang terapung berdekatan tempat kami mandi itu ada pakaian terpakai yang dibuang, lalu saya dan Tina menariknya naik ke tebing untuk dibuka.

“Bagaimanapun, bila kami buka, nampak ketulan daging, rupa-rupanya mayat bayi, ia membuatkan kami berdua sangat takut sebelum berlari pulang. Kini saya takut untuk mandi di sungai itu lagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian itu.

Ibu Tina, Merah Lat, 28, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai terbabit sebelum terkejut melihat Tina yang pulang dalam keadaan ketakutan sambil menangis sebelum dipujuk menceritakan kejadian yang berlaku.

“Saya terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan mayat bayi itu, sebelum mengajak beberapa penduduk kampung ke tebing sungai untuk melihat sendiri dan menghubungi polis.

“Berikutan kejadian itu, anak saya juga berada dalam keadaan ketakutan apabila menggigil dan tapak tangannya terasa sejuk, mungkin kerana takut terserempak mayat bayi terbabit," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mayat bayi perempuan terbabit yang dilahirkan cukup sifat dipercayai baru dibuang ke dalam sungai berhampiran perkampungan terbabit oleh individu tertentu.

“Siasatan yang dijalankan terhadap mayat bayi itu mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan pada badannya dan dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah, " katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, yang jika disabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit, diminta hubungi menyalurkan maklumat melalui hotline Polis Johor menerusi 07-2212999.

11 ulasan:

tombolo berkata...

kes pembuangan bayi ni tak sudah2, semakin lama makin byk pembuangan bayi berlaku. ini dari sikap ibu bapa mereka yg tk bertanggungjawab. sepatunya mereka ni diberi hukuman yang paling berat.

Jason berkata...

How can someone be so cruel to throw their own flesh and blood away.

Jason berkata...

I hope the police manage to find the parents of this baby and take legal action against them.

Hosie Masie berkata...

Semoga polis dapat mencari ibu kepada mayat bayi ini. Hukuman yang berat perlu diberikan kepada pesalah ini.

Anak Sabah berkata...

Masalah pembuangan bayi masih berleluasa. Harap ada cara yang lebih baik untuk mengurangkan masalah ini.

Tanpa Nama berkata...

nampaknya hukuman yang sedia ada sekarang masih belum mampu mendidik orang ramai untuk menghentikan jenayah membunuh dan membuang bayi ini. kerajaan perlu mengkaji hukuman yang sedia ada dan melaksanakan hukuman yang lebih berat.

Paquin berkata...

huhuhu, orang yang takda kaitan darah pun boleh sedih dengan kejadian ni... Tapi yang buang bayi tu memang betul2 tak berperikemanusian oo.. huhuhu

Paquin berkata...

Kalau hukuman undang2 tak dapat memberi pengajaran, semoga hukuman dari Tuhan dapat menyedarkan manusia akan kelakuan mereka.

zam berkata...

kes buang bayi nampaknya masih berlaku lagi. ini berlaku kerana masalah sosial yang semakin berleluasa kini.

zam berkata...

mereka yang bersalah dalam hal ini perlu dikenakan hukuman yang tegas.

Antanum berkata...

Semakin kejam manusia pada hari ini? Kenapa perlu melakukan perbuatan terkutuk itu? Anak adalah anugerah yang paling indah. Individu terbabit harus segera dikenakan tindakan.