Ahad, 2 Januari 2011

Mangsa banjir di Rantau Panjang meningkat kepada 494 orang

BERNAMA

RANTAU PANJANG — Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat banjir di pekan ini meningkat kepada 494 orang pagi ini berbanding 280 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan berkata tiga pusat pemindahan dibuka iaitu di Stesen Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Cina Rantau Panjang untuk menampung peningkatan mangsa banjir berkenaan.

Kesemua 494 mangsa daripada 130 keluarga itu dipindahkan secara berperingkat dari malam semalam sehingga pagi ini, katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata paras air Sungai Golok ialah 10.13 meter iaitu melebihi paras bahaya 9 meter manakala paras air di tujuh lagi sungai utama adalah normal.

Jurucakap itu berkata laluan di Km10, Jalan pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram dan Km11 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu turut dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan ringan.

Tinjauan Bernama di pekan ini mendapati penduduk mulai sibuk membuat persiapan untuk berpindah dan beberapa keluarga yang tinggal berhampiran sungai telah mengambil langkah awal dengan berpindah ke rumah saudara mara.

Tiada ulasan: