Khamis, 27 Januari 2011

Mahkamah Rayuan benarkan rayuan pelajar UKM cabar AUKU

Selain Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai serta empat aktivis lain ditahan pada 22 April lalu dalam sekatan jalan raya di Ampang Pecah Hulu Selangor sekitar jam 10 malam.


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini bersetuju untuk mendengar rayuan empat pelajar semester akhir jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengemukakan saman pemula mencabar kewibawaan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Panel hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman sebulat suara bersetuju untuk mendengar rayuan kes tersebut yang difailkan pembantu undang-undang mewakili empat pelajar terbabit, Jenine Gill pagi tadi.

Panel hakim yang diketuai Low bagaimanapun berkata tarikh pendengaran rayuan kes itu akan diputuskan pihaknya pada masa yang akan ditetapkan kemudian.

Selain itu, hakim juga menerima permohonan Jenine untuk tidak meneruskan permohonan untuk mendapatkan perintah injuksi sebelum ini yang mahu menyekat pihak UKM daripada terus mengenakan tindakan disiplin terhadap empat pelajar terbabit sementara menunggu rayuan.

Perkara itu turut dipersetujui secara bersama dengan peguam mewakili pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan peguam mewakili UKM.

Pelajar terbabit Hilman Idham ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya memutuskan untuk tidak mahu meneruskan usaha untuk mendapatkan perintah injuksi walaupun berhadapan risiko dengan dakwaan dan tindakan disiplin daripada UKM.

“Sepatutnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM boleh sambung proses perbicaraan atau tindakan disiplin terhadap kami pada bila-bila masa tapi kami masih mengharapkan kebijaksanaan daripada pihak universiti untuk tangguhkannya sementara menunggu kes di mahkamah Putrajaya ini selesai,” katanya.

Rayuan difailkan di Putrajaya setelah Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu membuat keputusan menolak dengan kos permohonan pelajar tebabit selepas mendapati Seksyen 15(5)(a) AUKU tidak bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak kebebasan bersuara.

Mereka sebelum ini diwakili peguam Malik Imtiyaz Sarwar, Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah.

Selain Hilman, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai serta empat aktivis lain ditahan pada 22 April lalu dalam sekatan jalan raya di Ampang Pecah Hulu Selangor sekitar jam 10 malam.

Dalam penahanan itu polis menjumpai video cakera padat (VCD) ceramah parti politik.

Mereka didakwa di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) AUKU 1971 kerana menyatakan sokongan atau simpati terhadap mana-mana parti politik yang bertanding semasa kempen pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa kedatangan mereka di Hulu Selangor pada ketika itu adalah atas tujuan kajian penyelidikan akademik semata-mata.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor pada masa itu menyaksikan perebutan kerusi antara calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan dan calon yang juga kini bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Kamalanathan bagaimanapun memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor mengalahkan Zaid dengan majoriti 1,725 undi.

Tiada ulasan: