Rabu, 12 Januari 2011

Lapan Sekolah Terjejas Banjir Di Kelantan Masih Ditutup

BERNAMA

RANTAU PANJANG: Seramai 2,175 pelajar di tiga jajahan Kelantan belum dapat meneruskan sesi pembelajaran kerana lapan sekolah yang terjejas banjir masih ditutup esok.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata sekolah-sekolah yang masih ditutup itu adalah empat di Tumpat, dua di Rantau Panjang dan dua lagi di Gua Musang.

"Banjir secara keseluruhannya bertambah baik tetapi beberapa kawasan persekitaran sekolah dan laluan ke sekolah masih ditenggelami air menyebabkan sekolah berkenaan belum dapat beroperasi semula," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Di Tumpat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Telok Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)Nurul Huda.

Di Rantau Panjang, ia membabitkan SABK Al-Fallah dan SABK Diniah manakala di Gua Musang sekolah yang ditutup ialah SK Bihai dan SK Balar.

Tiada ulasan: